Bot nelayan langgar syarat lesen ditahan

Maritim
A
A

KUCHING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Sarawak menahan sebuah bot nelayan tempatan yang menangkap ikan di perairan kira-kira 22 batu nautika dari Tanjung Sipang di sini, semalam, setelah melanggar syarat lesen.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, kapal Maritim Malaysia menerima aduan tentang bot berkenaan yang sedang melakukan penangkapan ikan di kawasan yang tidak dibenarkan bagi bot kelas C.

“Apabila pemeriksaan dijalankan ke atas bot berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati kegiatan bot nelayan kelas C2 itu telah melanggar syarat lesen dan mereka telah ditahan kerana menangkap ikan di bawah jarak yang telah ditetapkan pada lesen, iaitu 30 batu nautika.

“Pemeriksaan juga mendapati tekong bot tersebut merupakan warganegara Thailand manakala tujuh orang awak-awak lain terdiri daripada enam warganegara Thailand dan seorang warga Kemboja. Penelitian ke atas dokumen pula mendapati dua daripada kru yang berada di atas bot itu tidak tersenarai dalam manifest,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Teh berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat lessen dan kesemua tekong dan kru kapal terbabit telah dibawa ke jeti Kompleks Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk siasatan lanjut. - Bernama