Warga emas didakwa edar 39.9 liter dadah fentanyl

Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Selasa di atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis fentanyl seberat 39.9 liter pada awal bulan ini. Foto Bernama
Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Selasa di atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis fentanyl seberat 39.9 liter pada awal bulan ini. Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa di atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis fentanyl seberat 39.9 liter pada awal bulan ini.

Him Mat, 65, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas mengedar dadah di sebuah rumah di Kampung Guar Musang, Bukit Keteri, Padang Besar pada jam 5.50 petang, 1 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati dia boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alia Suzila Chek Pi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!