[VIDEO] Harga minyak Malaysia lebih rendah berbanding Arab Saudi, Qatar - PM

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan harga minyak di Malaysia ketika ini masih lebih rendah berbanding negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi dan Qatar.
Menurut beliau, perbandingan tersebut tidak wajar dibuat dengan negara yang bukan pengeluar minyak kerana situasi ekonominya berbeza.
"Jangan banding dengan negara yang bukan pengeluar minyak, yang tinggi harganya. Harus banding dengan Qatar dan Arab Saudi.
"Harga minyak di Malaysia lebih rendah dari Qatar dan Arab Saudi. Itu fakta yang perlu diingat. Masa kita minta turun RM1.50 (dahulu), harga minyak di Arab Saudi hanya 50 sen, sekarang kita RM1.99 dan harga di Arab Saudi lebih RM2.40,” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang membangkitkan isu harga minyak dan membuat perbandingan dengan harga ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, jumlah pembiayaan bantuan kerajaan ketika ini lebih tinggi berbanding pentadbiran terdahulu.
Justeru ujarnya, peningkatan tersebut sebahagiannya disumbangkan oleh pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), subsidi bersasar BUDI serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
"Kalau ada cadangan lain tentang bagaimana boleh turunkan harga (minyak), saya tiada masalah kerana saya patut dengar dan bersetuju meskipun setiap minggu dalam mesyuarat MTEN (Majlis Tindakan Ekonomi Negara) tidak pernah menyatakan kita punyai semua ubat mujarab dalam ekonomi.
"Kita perlu mendengar dan ubah suai. Sebab itu kita tidak hanya panggil menteri, tetapi turut melibatkan wakil syarikat, pekebun dan mendengar pandangan mereka untuk ubah suai di mana yang mampu," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

