PM sudah tunaikan janji turunkan harga minyak - Hassan Karim

 Hassan Karim
Hassan Karim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunaikan janji untuk menurunkan harga minyak menerusi pelaksanaan subsidi petrol dan diesel bersasar.

Beliau berkata, fakta menunjukkan harga bahan api di Malaysia kekal antara yang terendah berbanding kebanyakan negara lain, selain bekalan petrol, diesel dan gas asli kekal mencukupi walaupun berlaku ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

“Biarlah fakta yang bercakap. Apakah Anwar patut disalahkan atau seharusnya dipuji jika sejak Februari 2026 berlakunya perang di Teluk Parsi, bekalan minyak petrol, diesel serta gas asli untuk memasak kekal mencukupi untuk kegunaan rakyat, perniagaan dan industri?.

"Selain dari Brunei Darul Salam dan Arab Saudi, tidakkah harga petrol dan diesel di Malaysia adalah yang terendah di dunia?," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Hassan, semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang layak, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, diberikan hak mendapatkan petrol RON95 bersubsidi pada harga RM1.99 seliter dengan hanya mengemukakan MyKad.

Beliau turut menyentuh pelaksanaan subsidi diesel yang bermula 1 Julai 2026, dengan harga diesel bersubsidi ditetapkan RM2.10 seliter di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan, manakala harga tanpa subsidi adalah RM4.07 seliter.

Katanya, pelaksanaan subsidi diesel itu memberi manfaat kepada kira-kira 700,000 individu yang layak, selain 450,000 sektor logistik serta 210,000 petani dan pekebun kecil di seluruh negara.

“Ini bermakna bukan sahaja petrol RON95 diberi subsidi, malah diesel juga diberikan subsidi,” katanya.

Hassan berkata, dengan pelaksanaan tersebut, beliau percaya dakwaan bahawa Perdana Menteri gagal menunaikan janji menurunkan harga minyak adalah tidak berasas.

Artikel Berkaitan:

“Saya dengan rendah hati, berani mempertaruhkan diri untuk berbahas atau berdebat dengan sesiapa pun, terutamanya Ahli Parlimen pembangkang yang masih menyatakan Perdana Menteri tidak mengotakan janjinya,” katanya.

Dalam pada itu, Hassan menjelaskan beliau masih mempunyai pandangan kritikal terhadap keputusan Anwar memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa sama.

Bagaimanapun, katanya, isu berkaitan tatakelola itu adalah perkara berbeza dan tidak seharusnya dicampuradukkan dengan isu janji penurunan harga minyak.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!