X

Kindly register in order to view this article
!

JKN Pahang terima 1,200 naskhah al-Quran

Md Abdu (kanan) menyerahkan sumbangan Projek Wakaf Al-Quran kepada Dr Bahari di Pejabat JKN Pahang semalam.
A
A

KUANTAN- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang semalam menerima sumbangan 1,200 naskhah al-Quran melalui Projek Wakaf al-Quran anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama TV AlHijrah, Sinar Harian, Ideaktiv, Majlis Dakwah Negara dan Solidariti Ummah untuk Ummah.

Penyerahan disempurnakan Pengerusi Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Md Abdu Sahak dan diterima Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah di Pejabat JKN Pahang, Indera Mahkota di sini.

Dr Bahari berkata, beliau menyambut baik sumbangan al-Quran itu kerana selari dengan Program Hospital Mesra Ibadah yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, sumbangan akan diagihkan kepada hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di negeri ini.

"Melalui sumbangan ini, InsyaALLAH dapat membantu masyarakat menyemarakkan dan membudayakan bacaan al-Quran terutama ketika berdepan musibah penularan koronavirus (Covid-19) ketika ini.

"Bagaimanapun al-Quran ini bukan sekadar perlu dibaca sebaliknya difahami, dihayati dan diamalkan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan al-Quran itu di sini semalam.

Md Abdu (kanan) menyerahkan sumbangan Projek Wakaf Al-Quran kepada Dr Bahari di Pejabat JKN Pahang semalam.
Md Abdu (kanan) menyerahkan sumbangan Projek Wakaf Al-Quran kepada Dr Bahari di Pejabat JKN Pahang semalam.

Dr Bahari berkata, dalam mendepani musibah Covid-19 ini, umat Islam perlu kembali kepada ALLAH dan menjadikan al-Quran sebagai panduan.

Beliau turut memberi contoh al-Quran menekankan kepentingan menjaga kebersihan diri serta persekitaran dan perkara itu perlu dilakukan ketika mendepani wabak Covid-19.

Sementara itu, Md Abdu berkata, usaha WUIF dan rakan kerjasama lain dalam menjayakan Projek Wakaf al-Quran ini wajar diberi pujian.

Menurutnya, al-Quran adalah sumber rujukan umat Islam kerana banyak rahsia kehidupan tersingkap di sebaliknya tetapi ada yang belum menemui jawapan kerana tidak memahaminya kandungan ayatnya.

"Apabila berlaku musibah, kita kena kembali kepada fitrah, Islam dan al-Quran," katanya.

Md Abdu menandatangani surat penyerahan sumbangan Projek Wakaf Al-Quran disaksikan Dr Bahari di Pejabat JKN Pahang, Indera Mahkota semalam.
Md Abdu menandatangani surat penyerahan sumbangan Projek Wakaf Al-Quran disaksikan Dr Bahari di Pejabat JKN Pahang, Indera Mahkota semalam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus