Pelan pascaperang Gaza berdepan cabaran

Penduduk berkumpul di lokasi bangunan yang musnah akibat serangan Israel di Bandar Gaza. - AFP
Penduduk berkumpul di lokasi bangunan yang musnah akibat serangan Israel di Bandar Gaza. - AFP
A
A
A

BAITULMAQDIS – Usaha merangka pelan pascaperang bagi Gaza berdepan pelbagai cabaran besar walaupun pihak berkaitan sudah berbulan-bulan, membuat persiapan untuk fasa pemulihan selepas konflik.

Perancangan melibatkan aspek pentadbiran, keselamatan dan bantuan kemanusiaan mula dibentuk, namun kebanyakannya masih bersifat teori berikutan ketiadaan persetujuan politik, jaminan keselamatan yang kukuh serta pembiayaan berterusan.

Wilayah Gaza yang dihuni lebih dua juta penduduk Palestin itu kini berdepan kemusnahan besar akibat perang, dengan beberapa isu utama masih belum diselesaikan.

Isu keselamatan jadi cabaran utama

Keselamatan menjadi perkara paling kritikal dalam setiap cadangan pelan pascaperang Gaza.

Walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, keganasan terus berlanjutan dan usaha mencapai perjanjian damai berkekalan masih menemui jalan buntu. Foto AFP
Walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, keganasan terus berlanjutan dan usaha mencapai perjanjian damai berkekalan masih menemui jalan buntu. Foto AFP

Israel bertegas bahawa Hamas perlu melucutkan senjata sebelum sebarang kemajuan boleh dicapai, manakala kumpulan itu enggan menyerahkan senjata sebelum pengunduran tentera Israel dan penubuhan pentadbiran Palestin dilakukan.

Bagaimanapun, seorang pegawai daripada Lembaga Keamanan yang ditubuhkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi membantu persiapan pascaperang Gaza berkata, isu pelucutan senjata Hamas tidak lagi dianggap sebagai syarat awal untuk meneruskan perancangan di lapangan.

Artikel Berkaitan:

Antara cadangan yang dikemukakan ialah penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) bagi membantu mengekalkan ketenteraman di Gaza.

Menurut pegawai itu, empat negara iaitu Maghribi, Kosovo, Albania dan Kazakhstan menunjukkan komitmen terhadap inisiatif tersebut.

Kanak-kanak berjalan melepasi khemah penempatan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat perang di Khan Yunis, selatan Genting Gaza ketika persiapan bagi fasa pascaperang mula dirancang. - Foto AFP
Kanak-kanak berjalan melepasi khemah penempatan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat perang di Khan Yunis, selatan Genting Gaza ketika persiapan bagi fasa pascaperang mula dirancang. - Foto AFP

Sebuah pangkalan logistik berhampiran lintasan Kerem Shalom di pihak Israel juga hampir siap dan mampu menempatkan kira-kira 500 anggota tentera sebelum sebarang penempatan ke Gaza dilakukan.

Persiapan bagi membentuk pasukan polis Palestin turut diteruskan dengan kira-kira 20,000 permohonan telah diterima.

Namun, beberapa sumber diplomatik dan keselamatan menyifatkan proses itu masih menemui jalan buntu.

Sumber berkenaan berkata, latihan belum bermula dan Israel menolak senarai anggota yang dicadangkan selepas proses tapisan, termasuk membantah cadangan penempatan 5,000 anggota polis yang dianggap terlalu besar untuk Gaza.

Walaupun gencatan senjata dilaksanakan sejak Oktober 2025, keganasan harian masih berlaku apabila tentera Israel meneruskan serangan terhadap apa yang didakwanya sebagai pelanggaran gencatan senjata oleh Hamas dan kumpulan Palestin lain.

Pembinaan semula perlahan

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan proses pembinaan semula memerlukan tempoh bertahun-tahun serta kos puluhan bilion dolar, selain berdepan kekurangan bahan binaan dan peralatan membersihkan runtuhan.

Walaupun terdapat komitmen bantuan besar daripada penderma antarabangsa, sebahagian besar dana yang dijanjikan masih belum disalurkan.

Seorang kanak-kanak berjalan melepasi khemah penempatan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat perang di Khan Yunis, selatan Genting Gaza ketika persiapan bagi fasa pascaperang mula dirancang. Foto AFP
Seorang kanak-kanak berjalan melepasi khemah penempatan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat perang di Khan Yunis, selatan Genting Gaza ketika persiapan bagi fasa pascaperang mula dirancang. Foto AFP

Lembaga Keamanan berkata, jumlah dana sedia ada buat masa ini mencukupi untuk keperluan semasa, namun bantuan tambahan diperlukan sekiranya lebih banyak zon kemanusiaan diwujudkan.

Antara rancangan awal ialah pembukaan zon kemanusiaan perintis di Rafah yang mampu menempatkan puluhan ribu rakyat Palestin yang telah melalui proses tapisan.

Masa depan belum jelas

Hamas baru-baru ini mengumumkan hasrat menyerahkan tanggungjawab pentadbiran kepada Jawatankuasa Kebangsaan Pentadbiran Gaza (NCAG), sebuah badan yang terdiri daripada teknokrat Palestin untuk mengurus hal ehwal harian dalam tempoh peralihan.

Bagaimanapun, NCAG masih belum memasuki Gaza selepas beberapa sumber Palestin dan diplomatik mendakwa Israel menghalang kemasukan badan tersebut.

Sementara peranan Pihak Berkuasa Palestin (PA) pada masa depan juga masih belum diputuskan. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!