1,000 hari perang Gaza

GENTING GAZA - Perang genosid di Genting Gaza memasuki hari ke-1,000 pada Khamis sejak kempen pencerobohan dilancarkan rejim Zionis pada 7 Oktober 2023.
Sepanjang tempoh itu, beberapa gencatan senjata rapuh telah dilaksanakan, namun angka korban kekejaman tentera Israel terus meningkat.

Nasib lebih dua juta penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal dan terpaksa berlindung di bawah khemah usang belum jelas memandangkan kira-kira 70 peratus kawasan kini berada dalam cengkaman Zionis.
Pergerakan keluar masuk melalui lintasan sempadan masih terbatas manakala proses pelaksanaan tempoh bertenang secara kekal dan usaha pembinaan semula terus menemui jalan buntu.

Pengarah Serantau Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Nicolas von Arx berkata, terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan sebelum situasi di Gaza kembali pulih berikutan peranan 'Lembaga Keamanan' yang ditubuhkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak mempunyai hala tuju jelas.
Rundingan lanjut didakwa masih tergendala kerana isu pelucutan senjata pejuang Hamas yang belum mencapai kesepakatan selain kandungan perjanjian yang memberi kelebihan kepada Israel.
Langkah meletakkan senjata itu dianggap syarat penting oleh pentadbiran Trump bagi membolehkan pentadbiran baharu Gaza dibentuk dan penempatan pasukan antarabangsa untuk membantu aspek keselamatan serta pembinaan semula.

Angka kematian telah melepasi 73,000 orang manakala lebih 173,000 cedera susulan hujan peluru yang berterusan hampir setiap hari di wilayah tersebut.
Penduduk Gaza bergelut untuk meneruskan kehidupan mereka dalam keadaan serba kekurangan. Bekalan bantuan kemanusiaan seperti ubat-ubatan dan bahan api masih terhad berikutan sekatan berulang di pintu sempadan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan sebanyak 17 hospital di wilayah itu yang musnah dibedil juga belum dapat beroperasi sepenuhnya.
Walaupun krisis kebuluran pernah diisytiharkan pada Ogos 2025, pakar keselamatan makanan memaklumkan terdapat ‘penambahbaikan yang ketara’ selepas gencatan senjata terbaharu berkuat kuasa.
Tempoh bertenang itu sepatutnya membuka laluan kepada peningkatan bantuan kemanusiaan, namun usaha itu tidak memadai untuk menampung keperluan mendesak penduduk Palestin.

Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher berkata, prosedur kelulusan yang rumit dan saringan ketat di pos pemeriksaan Israel menyekat kemasukan bekalan penting.
"Penghantaran anggota prostetik kepada mangsa yang kehilangan anggota badan turut menjadi perdebatan rejim Zionis atas alasan peralatan itu kononnya boleh disalahgunakan sebagai senjata," jelasnya.

Penduduk Palestin kini berada dalam ketidakpastian selepas rejim Zionis terus meluaskan kempen pencerobohan mereka ke seluruh wilayah tersebut. Kebanyakan mereka sudah terlalu lelah kerana hidup dalam tekanan tiada kesudahan.
"Kami memiliki segala-galanya sebelum perang ini bermula. Sekarang, kami hanya mengharapkan sesuap makanan untuk mengalas perut," kata pemilik kedai di Khan Yunis, Mahmoud Ashour, 33.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

