Hamas lepaskan pentadbiran Gaza

BANDAR GAZA - Gerakan Hamas pada Isnin mengumumkan pembubaran badan yang telah mentadbir Genting Gaza selama hampir dua dekad bagi membuka laluan kepada penubuhan jawatankuasa teknokratik untuk mengambil alih pentadbiran wilayah itu.
Ketua Pejabat Media, Ismail al-Thawabta berkata, pengerusi Jawatankuasa Kecemasan membuat keputusan itu bagi memudahkan peralihan pentadbiran dan kerajaan kepada Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG).
Badan yang ditubuhkan menerusi Lembaga Keamanan yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika rundingan gencatan senjata pada tahun lalu itu kini berpusat di Kaherah sejak beberapa bulan lalu selepas akses mereka ke Gaza disekat Israel.
Sementara itu, jurucakap gerakan tersebut, Hazem Qassem berkata, langkah tersebut sebagai usaha untuk menutup ruang bagi sebarang alasan digunakan rejim Zionis yang terus melancarkan kempen pencerobohan dan perang ganas.
Ia menandakan perubahan politik yang besar bagi Hamas yang mentadbir Gaza selepas memenangi pilihan raya legislatif yang menewaskan gerakan Fatah pada 2006.
Ketua NCAG, Ali Shaath berkata, jawatankuasa pimpinannya bersedia untuk memikul tanggungjawab nasional sebaik sahaja sumber dan keupayaan yang diperlukan tersedia.
"Keperluan asas bagi memastikan kejayaan NCAG ialah satu kuasa pentadbiran, satu undang-undang dengan mandat yang jelas dan satu pasukan bersenjata di bawah kuasa entiti tunggal," katanya menerusi platform X.
Lembaga Keamanan dalam satu kenyataan pula menegaskan 'kesemua senjata mesti disatukan di bawah kawalan NCAG seperti yang diperuntukkan dalam Pelan Keamanan Komprehensif Gaza dan Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC)'.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric turut menyambut baik keputusan Hamas selagi langkah itu membantu mempercepat pelaksanaan resolusi-resolusi berkaitan UNSC termasuk pelaksanaan penuh gencatan senjata, perlindungan terhadap orang awam dan penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza tanpa sebarang halangan. – AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

