'Syed Saddiq berpotensi jadi PM pada masa depan' - Syed Ali

Syed Ali (gambar kiri) berkata, ketabahan yang ditunjukkan Syed Saddiq membuktikan beliau seorang pemimpin muda yang cekal, jujur dan berpegang teguh kepada kedaulatan undang-undang.
Syed Ali (gambar kiri) berkata, ketabahan yang ditunjukkan Syed Saddiq membuktikan beliau seorang pemimpin muda yang cekal, jujur dan berpegang teguh kepada kedaulatan undang-undang.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Senator, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai pemimpin muda yang berprinsip, berdaya tahan dan mempunyai potensi untuk memegang jawatan Perdana Menteri pada masa depan.

Menurut beliau, Syed Saddiq boleh dijadikan contoh kepada golongan muda kerana berpegang teguh kepada prinsip, bertanggungjawab serta menghormati sistem keadilan dan institusi kehakiman negara.

Katanya, bukan sesuatu yang mudah untuk seseorang individu berdepan proses perbicaraan mahkamah selama enam tahun, namun pada masa sama masih mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Walaupun saya tidak mengenali Syed Saddiq secara dekat, saya difahamkan beliau tidak pernah mengelak atau meminta penangguhan sepanjang prosiding perbicaraan berlangsung.

“Malah, beliau juga sentiasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat dan bersungguh-sungguh membantu penduduk di Muar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Syed Ali berkata, ketabahan yang ditunjukkan Ahli Parlimen Muar itu membuktikan beliau seorang pemimpin muda yang cekal, jujur dan berpegang teguh kepada kedaulatan undang-undang.

“Jika kita sendiri berada dalam keadaan turun naik mahkamah selama enam tahun sebagai orang kena tuduh dan sentiasa dibayangi kemungkinan dipenjarakan, sudah tentu sukar untuk tidur lena dan memberi tumpuan kepada pekerjaan.

“Bagaimanapun, saya melihat Syed Saddiq sentiasa tenang, tabah bersama keluarga dan masih mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan Parlimen Muar,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan Syed Saddiq sebagai seorang pemimpin politik muda yang memiliki keperibadian baik, berdaya tahan serta komited dalam membantu rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Melihat kepada gerak kerja politik, ketabahan serta pegangannya terhadap prinsip ‘berani kerana benar’, saya berpendapat Syed Saddiq mempunyai potensi besar dalam landskap politik negara dan berkeupayaan memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti,” katanya.

Pada Isnin, Mahkamah Persekutuan membebaskan sepenuhnya Syed Saddiq daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta selepas menolak rayuan pihak pendakwaan.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel hakim yang dianggotai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu pada Jun tahun lalu.

Kedua-dua hakim berkenaan mendapati tiada kesilapan undang-undang atau prosedur yang boleh dijadikan asas untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!