Degil sangat, melayang RM1,000!

Surat kompaun yang tular di media sosial.
Surat kompaun yang tular di media sosial.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Sikap degil tiga lelaki yang berkumpul dan melepak di bawah pokok walaupun telah diberi nasihat tiga hari berturut-turut mengundang padah apabila mereka dikompaun RM1,000 oleh polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tiga lelaki berkenaan yang berusia 50 hingga 72 tahun itu didapati berbual di hadapan sebuah rumah di Pinang Tunggal di sini oleh pasukan polis yang melakukan pemantauan Ops Covid-19 pada Jumaat lalu.

Menurutnya, walaupun amaran dan penerangan telah diberikan kepada mereka supaya beredar, namun mereka seolah-olah tidak mempedulikan arahan itu termasuk ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebelum kompaun dikeluarkan, Ketua Polis Balai Tasek Gelugor telah ke lokasi berkenaan selama tiga hari berturut-turut dan memberi nasihat agar mereka tidak berkumpul.

"Namun rondaan pada hari berikutnya (Jumaat) mendapati mereka masih berkumpul dan berbual di lokasi berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor

Noorzainy berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan yang bekerja sebagai tukang kebun dan operator kilang dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daeah SPU untuk tindakan lanjut dan kompaun dikenakan berikutan ke semua mereka enggan mendengar nasihat dan tidak mematuhi PKP.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai surat kompaun yang dikenakan polis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai perkara itu, Noorzainy berkata, orang ramai seharusnya sudah memahami apa yang perlu dilakukan sepanjang tempoh PKP iaitu dengan berada di dalam rumah masing-masing.

Katanya, tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa itu disebabkan sikap segelintir masyarakat yang gagal mendengar nasihat yang telah diberikan walaupun tempoh PKP telah masuk fasa ketiga.