Krisis air bersih landa Pangandaran, lebih 1,200 penduduk terjejas

PANGANDARAN – Krisis air bersih mula melanda Kabupaten Pangandaran, Indonesia susulan musim kemarau berterusan apabila lebih 1,200 penduduk terjejas akibat kekurangan bekalan air.
Memetik laporan Detikcom, seramai 406 ketua keluarga (KK) atau kira-kira 1,229 penduduk kini berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih dan bergantung kepada bantuan agihan daripada pihak berkuasa.
Data Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Pangandaran menunjukkan kawasan terjejas meliputi Kecamatan Mangunjaya, Padaherang, Kalipucang dan Parigi.
Keadaan itu dijangka terus meluas ke kawasan lain sekiranya taburan hujan tidak menunjukkan peningkatan dalam tempoh akan datang.
Ketua Pelaksana BPBD Kabupaten Pangandaran, Dodo Kusnadi berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan menyalurkan bantuan air bersih secara berperingkat mengikut permintaan daripada pihak desa setempat.
Menurutnya, sebanyak 15,000 liter air bersih telah diagihkan ke tiga kecamatan yang paling memerlukan bermula 30 Jun hingga 7 Julai lalu.
“Alhamdulillah, penyaluran air bersih ke kawasan terjejas sudah kami sampaikan secara berperingkat mengikut permintaan daripada pihak desa setempat,” katanya kepada DetikJabar pada Rabu.
Bantuan berkenaan disalurkan ke Desa Pamotan di Kecamatan Kalipucang, Desa Parakanmanggu di Kecamatan Parigi dan Desa Mangunjaya di Kecamatan Mangunjaya.
Penurunan paras sumber air di kawasan terbabit menyebabkan penduduk menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan harian.
BPBD Pangandaran kini terus memantau keadaan di lapangan berikutan risiko pertambahan kawasan yang mengalami kekeringan.
Dodo berkata, tempoh kemarau yang panjang berpotensi memburukkan lagi keadaan bekalan air kepada penduduk.
“Ada potensi kekeringan boleh meluas ke beberapa kawasan di Kabupaten Pangandaran,” katanya.
Dalam masa sama, pihak berkuasa desa diminta lebih proaktif melaporkan keadaan kawasan masing-masing supaya tindakan menangani krisis air dapat dilakukan lebih awal.
Penduduk turut dinasihatkan supaya menggunakan air bersih secara berhemah bagi memastikan bekalan sedia ada dapat bertahan.
“Kami berharap kawasan yang mempunyai sumber air mencukupi dapat berjimat dan saling berkongsi dengan penduduk yang memerlukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
