Kebakaran bar di Bangkok ragut 27 nyawa, punca disiasat

BANGKOK - Sekurang-kurangnya 27 orang maut manakala 18 lagi cedera selepas kebakaran berlaku di sebuah bar di kawasan Lat Phrao, daerah Chatuchak, Bangkok awal pagi Isnin.
Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt yang melawat lokasi kejadian kira-kira 2.40 pagi berkata, punca kebakaran yang berlaku selepas tengah malam itu masih disiasat pihak polis dan pegawai forensik.
Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) menyerahkan lokasi kejadian kepada pasukan penyiasat untuk pemeriksaan terperinci bagi mengenal pasti punca kebakaran, selain menentukan langkah bagi mencegah kejadian sama berulang.
Chadchart berkata, pemerhatian awal mendapati api merebak dengan pantas di bahagian siling, manakala kebanyakan meja dan kerusi plastik di dalam premis itu tidak mengalami kerosakan teruk.
"Kami masih menunggu keputusan proses pengecaman mangsa oleh petugas perubatan dan pihak berkuasa berkaitan.
"Anggota keluarga diminta mengikuti perkembangan rasmi menerusi pusat penyelarasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana BMA, kebakaran itu meragut 27 nyawa, iaitu sembilan lelaki dan 18 wanita.
Seramai 18 lagi cedera termasuk lapan dalam keadaan kritikal.
Pihak berkuasa percaya kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat terhidu asap, namun punca sebenar kematian hanya dapat disahkan selepas pemeriksaan forensik dan siasatan selesai.
Gabenor itu berkata, laporan awal turut menunjukkan beberapa mangsa ditemukan berada berhampiran pintu kecemasan di bahagian kiri bangunan yang dipercayai mungkin terhalang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan siasatan lanjut perlu dijalankan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Chadchart berkata, BMA akan memeriksa lesen operasi premis dan tahap pematuhannya terhadap piawaian keselamatan, khususnya bilangan serta keadaan pintu kecemasan, tahap keterlihatan papan tanda keluar dan sama ada laluan pemindahan terhalang.
Sementara itu, media tempatan Thailand melaporkan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul melawat lokasi kejadian pada awal pagi Isnin dan menerima taklimat daripada pegawai mengenai insiden itu.
Anutin dipetik sebagai berkata beliau telah bercakap dengan seorang pemuzik yang sedang membuat persembahan ketika kebakaran berlaku.
"Dia berkata kebakaran berlaku di bahagian papan suis elektrik dan selepas itu, semuanya berlaku dengan pantas.
"Beberapa letupan berlaku dan semua orang cuba menyelamatkan diri daripada asap serta api,” kata Anutin.
Beliau berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
