UMNO penyumbang terbesar kemenangan BN di Johor

SHAH ALAM - UMNO muncul penyumbang terbesar kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila hampir mencatat rekod kemenangan sempurna dengan memenangi 36 daripada 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Kejayaan itu menyaksikan UMNO merekodkan kadar kemenangan 97.3 peratus dan menjadi tulang belakang kepada kemenangan keseluruhan BN yang berjaya menguasai 48 daripada 56 kerusi DUN atau 85.7 peratus daripada keseluruhan kerusi yang ditandingi.
Satu-satunya kekalahan UMNO direkodkan di DUN Simpang Jeram apabila calonnya tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH).
Antara kerusi yang dimenangi UMNO ialah Buloh Kasap, Pemanis, Tenang, Bukit Kepong, Bukit Pasir, Gambir, Serom, Bukit Naning, Maharani, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Semarang, Parit Yaani, Parit Raja, Senggarang, Rengit, Machap, Mahkota, Endau, Tenggaroh, Panti, Pasir Raja, Sedili, Johor Lama, Penawar, Tanjung Surat, Tiram, Permas, Larkin, Kempas, Kota Iskandar, Bukit Permai, Benut, Pulai Sebatang dan Kukup.
Selain UMNO, MCA memenangi lapan daripada 15 kerusi yang ditandingi, sekali gus mencatat kadar kemenangan 53.3 peratus.
Lapan kerusi yang dimenangi MCA ialah Tangkak, Jementah, Johor Jaya, Pekan Nenas, Yong Peng, Bekok, Paloh dan Layang-Layang, manakala parti itu tewas di Bentayan, Penggaram, Puteri Wangsa, Stulang, Skudai, Senai dan Mengkibol.
MIC pula mencipta rekod kemenangan sempurna apabila memenangi kesemua empat kerusi yang ditandingi, menjadikan parti itu satu-satunya komponen BN yang mencatat kadar kemenangan 100 peratus.
Empat kerusi yang dimenangi MIC ialah Perling, Bukit Batu, Kemelah dan Kahang.
Secara keseluruhannya, gabungan prestasi tiga parti komponen itu membolehkan BN mengekalkan pentadbiran Johor dengan majoriti lebih dua pertiga selepas menguasai 48 daripada 56 kerusi DUN, manakala baki lapan kerusi dimenangi PH.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN Johor: 55 calon hilang wang deposit
[RASMI] Keputusan penuh 56 kerusi PRN Johor ke-16
BN menang besar 48 kerusi DUN Johor - SPR
[RASMI] PRN Johor: SPR umum BN menang besar 48 kerusi DUN Johor
[RASMI] PRN Johor: Maszlee menang DUN Puteri Wangsa
SPR teliti isu muat naik kertas undi sudah dipangkah di media sosial
Anwar ucap tahniah kepada BN, janji Kerajaan Persekutuan terus bantu Johor
[RASMI] PRN Johor: Pas hilang kubu terakhir
PRN Johor: Kekalahan PN sudah dijangka, pengerusi perlu bertanggungjawab letak jawatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

