Komitmen jentera kunci kemenangan BN di Johor-Wan Rosdy

KUANTAN – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hasil komitmen dan semangat juang seluruh jentera parti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismaill menzahirkan penghargaan kepada semua jentera BN termasuk pasukan dari Pahang yang berkampung di Johor sepanjang tempoh 14 hari berkempen bagi memastikan kemenangan gabungan itu.
"Komitmen, pengorbanan dan semangat juang yang ditunjukkan menjadi antara faktor penting yang membawa kepada kejayaan ini," katanya menerusi hantaran di platform Facebook.
Dalam masa sama, Wan Rosdy turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi serta memberikan kepercayaan dan mandat kepada BN untuk terus menerajui pentadbiran negeri itu.
"Insya-ALLAH, mandat yang diberikan ini akan diterjemahkan melalui usaha berterusan untuk memastikan Johor terus kekal stabil, makmur, maju dan sejahtera demi kesejahteraan seluruh Bangsa Johor," katanya.
Dalam hantaran berasingan, Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN/UMNO Pahang berkata, kemenangan BN yang memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan sangat positif bukan sahaja kepada Johor tetapi juga kepada BN
"Tahniah BN. Tahniah juga kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi dan terima kasih kepada seluruh jentera BN termasuk dari Pahang.
"Alhamdulillah, semua kawasan angkat Pahang telah mencapai kemenangan," ujarnya.
BN secara rasmi menang dengan majoriti besar 48 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) hanya memenangi lapan kerusi DUN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

