PRN Johor: Kemenangan Puteri Wangsa bukti calon, jentera jadi penentu

SHAH ALAM - Kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan pemilihan calon serta gerak kerja berterusan masih mampu menentukan keputusan sesuatu pilihan raya.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, kemenangan itu wajar diberikan perhatian kerana berjaya diraih ketika beberapa kawasan lain menyaksikan perubahan sokongan pengundi.
Menurutnya, faktor penerimaan terhadap calon, kekuatan jentera yang tersusun serta gerak kerja yang konsisten sehingga hari mengundi dipercayai menjadi antara penyumbang utama kejayaan tersebut.
"Antara faktor yang mungkin menjadi penyumbang adalah penerimaan terhadap calon, jentera yang tersusun dan konsisten sehingga hari mengundi.
"Kemenangan calon Puteri Wangsa membuktikan bahawa calon yang tepat, jentera yang kemas dan gerak kerja yang berterusan masih mampu menentukan keputusan sesuatu pilihan raya," katanya dalam coretan pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan PRN Johor 2026 tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi semata-mata, sebaliknya perlu dilihat daripada aspek undi popular, kadar keluar mengundi dan perubahan corak sokongan rakyat berbanding pilihan raya terdahulu.
Katanya, Barisan Nasional (BN) mencatat peningkatan ketara apabila meraih 1,131,130 undi pada PRN Johor 2026 berbanding 598,224 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), iaitu pertambahan sebanyak 532,906 undi.
Pada masa sama, katanya, Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 519,661 undi pada PRU15 hanya meraih 102,804 undi dalam PRN kali ini, berkurang sebanyak 416,857 undi.
Beliau bagaimanapun berkata, perubahan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai semua undi PN beralih kepada BN, namun ia jelas menunjukkan berlaku perubahan sokongan yang besar dalam tempoh kurang empat tahun.
Menurut Danish, PH pula meningkatkan jumlah undi daripada 367,525 undi atau 26.41 peratus pada PRN Johor 2022 kepada 611,855 undi atau 32.6 peratus dalam PRN 2026, namun hanya memenangi lapan kerusi berbanding 12 kerusi sebelum ini.
"Ini menunjukkan realiti sistem pilihan raya 'first-past-the-post' apabila pertambahan undi tidak semestinya diterjemahkan kepada pertambahan kerusi kerana kemenangan ditentukan berdasarkan taburan undi di setiap DUN," katanya.
Beliau turut berpandangan masih terdapat ruang untuk PH mengukuhkan semula sokongan memandangkan gabungan itu pernah memperoleh 825,082 undi di Johor pada PRU15.
Selain itu, katanya, corak sokongan pengundi bukan Melayu juga dilihat semakin dinamik apabila tidak lagi tertumpu kepada satu gabungan politik semata-mata.
"Keputusan mereka kini dipengaruhi gabungan beberapa faktor seperti calon, isu setempat, kekuatan jentera dan prestasi wakil rakyat.
"PRN Johor 2026 menunjukkan landskap politik negeri itu semakin dinamik. Di sebalik setiap angka, terdapat cerita mengenai bagaimana rakyat membuat pilihan serta bagaimana keyakinan terhadap parti dan calon terus berubah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

