Penyeludup terjun Sungai Golok, tinggalkan perahu sarat tong gas

Seorang penyeludup melarikan diri ke Thailand dengan meninggalkan sebuah perahu sarat dengan LPG di pangkalan haram Mekza, Simpangan, Tumpat pada Sabtu. Foto: PGA
Seorang penyeludup melarikan diri ke Thailand dengan meninggalkan sebuah perahu sarat dengan LPG di pangkalan haram Mekza, Simpangan, Tumpat pada Sabtu. Foto: PGA
A
A
A

TUMPAT – Seorang penyeludup bertindak terjun ke Sungai Golok untuk melarikan diri ke Thailand dengan meninggalkan sebuah perahu sarat dengan gas petroleum cecair (LPG) di pangkalan haram Mekza, Simpangan, di sini pada Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 8 malam itu dikesan sepasukan Strike Force Kompeni C Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu yang sedang menjalankan rondaan motosikal menerusi Op Taring Wawasan.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota operasi mengesan sebuah perahu dinaiki seorang lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan di pangkalan haram berkenaan.

Menurut beliau, sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan, suspek bertindak terjun ke dalam sungai sebelum berenang ke arah Thailand bagi mengelak ditahan.

"Hasil pemeriksaan ke atas perahu tersebut menemukan 15 tong gas LPG berkapasiti 14 kilogram jenama Petronas yang dipercayai cuba diseludup melalui laluan tidak diwartakan.

"Turut dirampas sebuah perahu dan sebuah penimbang. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM11,560," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Ujar beliau, tiada tangkapan dilakukan kerana suspek meloloskan diri ke negara jiran.

Tambahnya, kesemua barangan rampasan dibawa ke Komtak Pengkalan Kubor sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Beliau memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel Berkaitan:

"Usaha mengesan pemilik perahu sedang dijalankan bagi membantu siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!