Pemandu wanita maut dirempuh kereta hilang kawalan

Seorang wanita dilaporkan maut dalam kemalangan dua kereta di Lebuhraya Kesas pada Jumaat.
Seorang wanita dilaporkan maut dalam kemalangan dua kereta di Lebuhraya Kesas pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang maut selepas kereta dipandu dirempuh sebuah kenderaan lain yang dipercayai hilang kawalan dalam kejadian di Kilometer 30.7 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam.

Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Nissan Almera yang dipandu lelaki tempatan berumur 50-an telah hilang kawalan.

"Nissan Almera itu telah melanggar sebuah Perodua Axia yang dipandu wanita berumur lingkungan 20-an bersama seorang penumpang wanita berumur awal 30-an dan anak lelakinya yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Seksyen 27(1) Shah Alam.

"Kemalangan menyebabkan pemandu Perodua Axia itu meninggal dunia, manakala dua penumpang mengalami cedera di kepala dan muka," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa yang cedera telah mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Tambahnya, polis kini sedang mengesan pemandu Nissan Almera terbabit.

"Mana-mana individu atau orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan ini bolehlah tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!