Warga emas maut kereta dipandu langgar lori mengundur

Seorang warga emas maut selepas kereta dipandunya terlanggar sebuah lori yang sedang mengundur di Kilometer 69, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu pada Ahad. Gambar hiasan
Seorang warga emas maut selepas kereta dipandunya terlanggar sebuah lori yang sedang mengundur di Kilometer 69, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu pada Ahad. Gambar hiasan
A
A
A

BANDAR PERMAISURI - Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta Perodua Kancil dipandunya terlanggar sebuah lori yang sedang mengundur di Kilometer 69, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu di sini pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, dalam kejadian kira-kira 6.20 pagi itu, mangsa Othman Abdullah, 62, yang beralamat di Kampung Guntong Luar di sini, meninggal dunia di Hospital Setiu akibat kecederaan di bahagian dada.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori jenis UDT yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dari Segamat, Johor, keluar dari simpang ke jalan utama sebelum mengundur bagi meletakkan kenderaan. 

"Semasa lori itu sedang mengundur, ia telah dilanggar oleh kereta dipandu mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Zahril Asri meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Inspektor Thaufiq di talian 011-26069043 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Setiu. - Bernama

 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!