Kamera tersembunyi bongkar pembantu rumah dera majikan berusia 97 tahun

SINGAPURA – Pembantu rumah warga Indonesia dikenakan hukuman penjara 18 bulan atas pertuduhan mendera majikannya berusia 97 tahun pada Jumaat, lapor Channel News Asia.
Tertuduh, Siti Nurhayati Marwi Animan, 40, mengaku bersalah mendera warga emas yang menghidap demensia dan bergantung kepadanya untuk penjagaan harian.
Rakaman kamera tersembunyi menunjukkan tertuduh berulang kali memukul kepala, muka, mata, perut, tangan dan kaki mangsa.
Dia turut mencucuk mata warga emas itu, memukul menggunakan penyapu, menolak tubuh mangsa ke atas sofa serta mengasarinya.
Tertuduh menangis selepas rakaman penderaan dipertontonkan sebagai bahan bukti.
Pendakwa Raya, Nicole Teo memohon hukuman penjara antara 20 hingga 26 bulan dengan alasan pertuduhan yang dikenakan hanya melibatkan kejadian yang berjaya dirakam kamera tersembunyi.
Menurut beliau, penderaan itu sukar dikesan kerana mangsa tidak mampu mengingati atau melaporkan kejadian yang dialaminya.
Menurut dokumen mahkamah, wanita itu mendakwa dia bertindak demikian kerana keletihan dan tertekan akibat perlu menjaga warga emas berkenaan selain menguruskan kerja rumah.
Hakim Mahkamah Daerah, R Arvindren berkata, usia lanjut mangsa, keadaan kesihatannya yang lemah serta corak keganasan berterusan terhadap seorang individu yang tidak berdaya merupakan faktor yang memberatkan hukuman.
Siti diambil bekerja pada 2019 bagi menjaga mangsa dan isterinya yang meninggal dunia pada 2023.
Kecurigaan keluarga memuncak apabila cucu mangsa yang berpindah ke rumah tersebut pada Oktober 2025 mendapati datuknya mengalami luka dan lebam baharu hampir setiap hari.
Cucu mangsa kemudian memasang kamera tersembunyi yang mempunyai fungsi siaran langsung sebelum menyaksikan sendiri perbuatan pembantu rumah itu.
Rakaman berkenaan kemudian ditunjukkan kepada ahli keluarga sebelum mereka membuat laporan polis.
Doktor memaklumkan kesan lebam pada tubuh mangsa tidak konsisten dengan kecederaan akibat terjatuh seperti didakwa Siti.
Pembantu rumah itu ditahan pada hari sama sebelum didakwa di mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
