Amang seksual: Hukuman penjara 6 tahun bekas jurulatih boling kekal

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 6 tahun terhadap bekas jurulatih boling yang didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang atlet Sukma 8 tahun lepas. - Gambar hiasan
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 6 tahun terhadap bekas jurulatih boling yang didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang atlet Sukma 8 tahun lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun terhadap bekas jurulatih boling yang didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang atlet Sukan Malaysia (Sukma), lapan tahun lepas.

Panel tiga hakim Datuk Azman Abdullah, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menolak rayuan dikemukakan Mat Salleh Jalani terhadap sabitan serta hukuman ke atasnya.

Azman semasa menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata mangsa tidak mempunyai alasan untuk mereka-reka keterangan berhubung perbuatan perayu.

Beliau berkata, hukuman penjara enam tahun dan pengawasan polis selama dua tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen dikekalkan untuk memberi kesedaran kepada perayu dan orang awam supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak.

Pada 16 Mei 2024, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman itu terhadap Mat Salleh, 62, selepas mendapatinya bersalah melakukan perbuatan tersebut terhadap remaja lelaki yang semasa itu berusia 14 tahun satu bulan di sebuah taman perumahan di Marang, Terengganu pada Mac 2018.

Mahkamah Sesyen juga memerintahkan Mat Salleh berada di bawah pengawasan polis selepas tamat menjalani hukuman penjara.

Pada 22 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman itu selepas menolak rayuan Mat Salleh.

Pada prosiding hari ini, peguam Muhammad Abdul Rahman Ab Razak mewakili Mat Salleh manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim@Husaini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara enam tahun ke atas bekas jurulatih boling kerana amang seksual fizikal terhadap seorang atlet SUKMA lapan tahun lepas
  • Panel tiga hakim menolak rayuan yang dikemukakan oleh Mat Salleh Jalani
  • Hukuman itu dijatuhkan bagi memberi kesedaran agar tidak mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak
  • Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu mendapati Mat Salleh bersalah melakukan perbuatan amang seksual terhadap remaja lelaki berusia 14 tahun satu bulan pada Mac 2018
  • Mat Salleh turut diarahkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!