Ramai warga Indonesia, Bangladesh nak balik kampung sambut raya

Warga Bangladesh menunggu giliran membuat permohonan pulang secara sukarela tanpa pendakwaan menerusi PRM 2.0 di Pejabat JIM Senawang
Warga Bangladesh menunggu giliran membuat permohonan pulang secara sukarela tanpa pendakwaan menerusi PRM 2.0 di Pejabat JIM Senawang
A
A
A

SEREMBAN - Dua minggu menjelang Aidilfitri, warga asing terutamanya dari Indonesia dan Bangladesh dilihat mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung menerusi Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0.

Meskipun Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Senawang, di sini hanya dibuka pada jam 8 pagi, namun difahamkan ada yang mula beratur seawal jam 7 pagi.

Warga Bangladesh yang ditemui berkata, dia bersama tiga rakan datang dari Selayang, Selangor dan tiba jam 6 pagi.

"Saya nak buat dekat Kuala Lumpur, tapi kawan-kawan lain dekat sana lagi ramai. Jadi sebab itu datang ke Seremban.

"Saya datang Malaysia guna pas pekerja, tapi ada masalah dan bila tahu program ini, saya nak ambil peluang balik ke Bangladesh untuk sambut raya," katanya.

Menerusi program pemutihan berkenaan, warga asing yang mempunyai masalah pas seperti tiada pas atau tinggal lebih masa diberi peluang pulang ke negara asal secara sukarela tanpa pendakwaan dengan beberapa syarat.

Bahagian luar Pejabat JIM Senawang penuh dengan kenderaan yang mengambil peluang PRM 2.0
Bahagian luar Pejabat JIM Senawang penuh dengan kenderaan yang mengambil peluang PRM 2.0

Sementara itu, Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, program berkenaan telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 2024.

Artikel Berkaitan:

"PRM 1.0 bermula Mac 2024 hingga Mac 2025 manakala PRM 2.0 dari Mei 2025 hingga April 2026. Seperti tahun-tahun sebelum ini, ramai warga asing terutama dari Indonesia dan Bangladesh akan gunakan peluang ini untuk pulang sempena Aidilfitri.

"Kami nampak peningkatan jumlah yang datang ke pejabat sejak mulai Februari lalu dan semakin meningkat sejak dua minggu lalu," katanya ditemui ketika Majlis Berbuka Puasa JIM Negeri Sembilan Bersama Media di sini pada Rabu.

Menurutnya, pihaknya hanya membuka kaunter di Pejabat JIM di Senawang saja untuk urusan tersebut pada jam 8 pagi hingga jam 5 petang.

Tambahnya, setiap hari dihadkan seramai 150 pelanggan sahaja sehari, namun menjelang Aidilfitri kehadiran semakin bertambah sehingga 180 pelanggan.

"Ada hari tertentu kakitangan kami terpaksa bekerja sehingga jam 10 malam dan yang datang ini bukan saja dari Negeri Sembilan tapi juga dari Lembah Klang.

"Walaupun lebih 150 orang sehari dihadkan, tapi memandangkan mereka datang bersama tiket untuk pulang ke negara asal dalam tempoh singkat, jadi kami terima," katanya.

Beliau berkata, antara syarat yang perlu dipatuhi warga asing adalah mesti memiliki pasport sah dan tiket perjalanan dalam tempoh 14 dari tarikh memohon PRM.

"Mereka akan dikenakan kompaun RM500 bagi yang tiada pas atau tinggal lebih masa, RM300 bagi langgar syarat pas RM20 bagi pas khas," katanya.

Mengulas mengenai jumlah keseluruhan warga asing yang menyertai PRM2.0, beliau berkata, sehingga Rabu,seramai 10,843 individu direkodkan berdaftar.

"Warga Indonesia paling ramai iaitu (6,810) diikuti Bangladesh (1,250) dan Myanmar (1,094). Manakala bagi PRM 1.0 seramai 14,735 warga asing direkod sertainya," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Warga asing dari Indonesia dan Bangladesh memanfaatkan Program Repatriasi Migran 2.0 untuk pulang merayakan Aidilfitri
  • Beberapa syarat pemutihan termasuk pemilikan pasport sah dan tiket perjalanan dalam tempoh 14 hari dari tarikh memohon
  • Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Senawang hanya menerima 150 pelanggan sehari, tetapi jumlah ini meningkat menjelang Aidilfitri
  • Kompaun dikenakan kepada yang tiada pas atau tinggal lebih masa adalah RM500, manakala RM300 bagi pelanggaran syarat pas
  • Sehingga Rabu, seramai 10,843 warga asing telah berdaftar dengan Program Repatriasi Migran 2.0, di mana warga Indonesia paling ramai diikuti oleh Bangladesh dan Myanmar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!