Pempengaruh cipta papan luncur terapung, pusing keliling Sungai Yangtze

Tangkap layar video Xingyu menaiki papan luncur terapung ciptaannya sendiri merentasi Sungai Yangtze, kawasan pergunungan bahkan taman perumahan. Kredit/ Youtube Amazing Ayu.
Tangkap layar video Xingyu menaiki papan luncur terapung ciptaannya sendiri merentasi Sungai Yangtze, kawasan pergunungan bahkan taman perumahan. Kredit/ Youtube Amazing Ayu.
A
A
A

BEIJING – Dengan berbekalkan ilmu kejuruteraan yang dipelajarinya secara kendiri, seorang pempengaruh teknologi dari China berjaya menghasilkan papan luncur terapung atau hoverboard yang boleh dinaiki manusia.

Memetik laporan South China Morning Post, Song Xingyu, 26, atau lebih dikenali sebagai ‘Amazing Ayu’ dalam kalangan pengguna media sosial, mencuri perhatian selepas memuat naik video dirinya menaiki hoverboard ciptaannya yang dibangunkan dalam tempoh kira-kira dua bulan.

Pada 15 Oktober lalu, Xingyu menerusi vlog YouTube mempamerkan aksinya meluncur di udara merentasi Sungai Yangtze dan kawasan pergunungan.

Rakaman berkenaan mencetuskan perbandingan dalam kalangan pengguna media sosial dengan aksi Tesla Roadster yang melakukan putaran di udara ketika pelancaran reka bentuk semula model itu di Amerika Syarikat (AS) pada tarikh yang sama.

Seorang pengguna media sosial berseloroh bahawa Tesla mungkin sekadar menghasilkan mainan terbang gergasi untuk tontonan, sedangkan rakyat China benar-benar mampu terbang di udara.

Artikel Berkaitan:

Xingyu yang berasal dari Enshi, wilayah Hubei, kini mempunyai lebih tiga juta pengikut hasil perkongsian video pelbagai ciptaan udaranya.

Minat pemuda terbabit dalam bidang penerbangan bermula selepas menonton sebuah program ujian penerbangan.

Membesar dalam keluarga di kawasan luar bandar, dia berhenti sekolah pada usia 14 tahun sebelum bekerja di bengkel pemotongan kayu milik bapanya.

Xingyu kemudian mengumpulkan bahan terpakai untuk membina model pesawat pertamanya dengan bantuan sumbangan daripada peminat penerbangan dalam talian.

Pada Jun 2022, Xingyu membuat pinjaman untuk mengubah suai sebuah bangsal terbiar menjadi makmal penyelidikan peribadinya.

Perjalanannya tidak mudah apabila dia menjadi mangsa penipuan sehingga menanggung hutang sebanyak 2.4 juta yuan (kira-kira RM1.49 juta).

Sebuah syarikat teknologi, Insta360, kemudiannya tampil menghulurkan bantuan kewangan berjumlah 1.8 juta yuan (anggaran RM1.12 juta).

Xingyu meluncur di udara merentasi Sungai Yangtze dan kawasan pergunungan. Foto : Agensi
Xingyu meluncur di udara merentasi Sungai Yangtze dan kawasan pergunungan. Foto : Agensi

Pada Mei 2024, Xingyu cuba melancarkan pesawat kawalan jauh ke lapisan atmosfera atas menggunakan belon helium selepas menyiapkannya dalam tempoh 22 hari.

Bagaimanapun, tiupan angin kencang memusnahkan tapak perkhemahan dan pelantar pelancaran yang disediakan.

Enam bulan kemudian, dia melakukan satu lagi percubaan berisiko apabila terjun dari helikopter pada ketinggian 5,000 meter (m) dengan memakai peranti penerbangan berkuasa jet ciptaannya sendiri.

Payung terjun utama gagal terbuka, manakala payung terjun sandaran hanya berfungsi ketika dia berada pada ketinggian 600 m dari permukaan tanah.

Beberapa jam sebelum terjunan yang hampir meragut nyawanya itu, Xingyu sempat merakamkan pesanan terakhir dengan menyatakan bahawa dia hanya berasa benar-benar hidup apabila melakukan perkara sedemikian. Dia turut meminta orang ramai supaya tidak mencontohi tindakannya.

Tidak berputus asa, Xingyu menggunakan belon udara panas pada September tahun lalu untuk mengangkat sebuah ruang tamu lengkap ke udara. Malah, dia sempat menggoreng telur dan menyediakan sandwic ketika berada di situ.

Tahun ini, watak Spider-Man pula mendorongnya menghasilkan alat peluncur yang menyerupai peralatan milik Green Goblin.

Selepas prototaip pertama yang menggunakan enjin turbojet mikro terbakar ketika ujian, Xingyu beralih kepada sistem pendorongan elektrik sebelum berjaya menghasilkan papan luncur terapung yang dibantu oleh kecerdasan buatan (AI).

Peranti itu dipercayai mampu menampung beban empat orang dewasa, manakala Xingyu turut menjalani latihan keseimbangan fizikal sebelum mengujinya di udara.

“Saya mahu terus menguji batas fizik dan kini menumpukan perhatian kepada usaha mencari kaedah untuk membolehkan peranti ini terbang pada altitud lebih tinggi,” ujarnya.

Meskipun dikatakan menolak tawaran liputan media dan urusan komersial, ciptaannya meraih lebih 5.1 juta tanda suka di Douyin.

Pengguna media sosial memuji kreativiti Xingyu selain berharap teknologi itu dapat digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat pada masa hadapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!