Pelajar universiti perlu kekal di kampus: Ismail Sabri

Gambar hiasan. Foto: Bernama
Gambar hiasan. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Semua pelajar universiti sama ada di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) perlu kekal berada di kampus masing-masing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat khas pagi tadi.

"Semalam pun saya sudah sebut mengenai pelajar di IPTA dan IPTS, tetapi masih ada rayuan dan sebagainya tetapi seperti yang saya sebut kita mendengar pandangan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PRDM) dan sebagainya.

“Maka kita memutuskan bahawa pelajar di universiti diminta terus kekal di kampus universiti masing-masing sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan.

"Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memastikan kebajikan dan makan minum pelajar diutamakan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, KPT sebelum ini memaklumkan pihaknya sedang meneliti kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang terkandas di kampus akibat PKP.

Bagaimanapun, Sabtu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mencadangkan supaya semua pelajar yang masih berada di kampus tidak dihantar pulang ke kampung masing-masing buat masa ini.

Noor Hisham berkata, ini kerana fasa ketiga PKP penting dalam menentukan kejayaan untuk memutuskan rantaian pandemik koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, ketika ini terdapat seramai 74,530 penuntut yang tidak dapat pulang ke kampung halaman akibat PKP.