Anwar, Anutin cetus momen istimewa dengan duet lagu 'My Way’

Persembahan Anwar dan Anutin mencuri perhatian. Foto Khaosod English.
Persembahan Anwar dan Anutin mencuri perhatian. Foto Khaosod English.
A
A
A

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mencuri perhatian apabila berkongsi detik santai menerusi persembahan muzik spontan sempena lawatan rasmi Anutin ke Malaysia pada Khamis, lapor Khaosod English.

Momen istimewa itu berlangsung ketika jamuan tengah hari rasmi yang dihoskan Anwar di Pejabat Perdana Menteri, selepas kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan dua hala serta sidang media bersama.

Menurut wartawan yang membuat liputan lawatan itu, Anwar mengajak Anutin memainkan saksofon ketika majlis berkenaan.

Anutin kemudian memilih lagu klasik 'My Way', yang pernah dipopularkan oleh penyanyi legenda Amerika Syarikat, Frank Sinatra.

Ketika Anutin mula memainkan alat muzik berkenaan, Anwar tampil mengambil mikrofon dan menyertai persembahan itu sebagai penyanyi, sebelum kedua-duanya berdiri bersama di pentas sambil disambut tepukan tetamu.

Persembahan tidak dirancang itu mencipta suasana lebih santai dalam majlis rasmi berkenaan, selain dilihat sebagai simbol hubungan mesra antara Malaysia dan Thailand yang berkongsi sempadan serta hubungan diplomatik rapat.

Lawatan rasmi Anutin turut memperkukuh komitmen kedua-dua negara dalam meningkatkan kerjasama dua hala meliputi pelbagai bidang termasuk ekonomi, keselamatan dan hubungan rakyat.-Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!