Suami isteri antara lima ditahan, bunga ganja RM13.34 juta dirampas

Shazeli (tengah) menunjukkan bunga ganja yang dirampas. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Shazeli (tengah) menunjukkan bunga ganja yang dirampas. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Pasangan suami isteri disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran bunga ganja antara lima individu yang diberkas dalam operasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebuah kondominium di Kota Warisan di Sepang pada 29 Jun hingga 4 Julai.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dalam serbuan itu, polis berjaya merampas bunga ganja seberat 166.2 kilogram yang bernilai RM13.34 juta.

"Kejayaan itu dicapai menerusi empat serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) KLIA dengan kerjasama Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini pada Khamis.

Shazeli berkata, dalam kes pertama pada 29 Jun lalu, polis bantuan MAHB KLIA mengesan dua bagasi mencurigakan ketika melalui mesin pengimbas bagasi di terminal KLIA sebelum menahan seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun di ruang menunggu pelepasan penerbangan.

"Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bagasi tersebut menemui 60 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 33.6 kilogram," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Shazeli berkata, dalam serbuan kedua pada hari sama, polis sekali lagi mengesan sebuah bagasi mencurigakan di terminal KLIA sebelum menahan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun yang dipercayai pemilik bagasi tersebut.

"Hasil pemeriksaan menemui 39 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 21.1 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.7 juta," katanya.

Beliau berkata, pada 3 Julai lalu, polis menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 31 dan 40 tahun di kawasan parkir sebuah kondominium di Kota Warisan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

"Hasil soal siasat, kita menyerbu sebuah unit kondominium yang disewa pasangan itu sebelum menemukan empat bagasi dan tiga beg plastik mengandungi 146 bungkusan plastik berisi ketulan mampat disyaki bunga ganja.

Artikel Berkaitan:

"Rampasan tersebut dianggarkan seberat 76 kilogram dengan nilai keseluruhan RM6.1 juta," katanya.

Shazeli berkata, pasangan tersebut disyaki aktif mengedar dadah sejak dua tahun lalu.

"Kita turut menyita sebuah kenderaan jenis Perodua Alza bernilai RM20,000 yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penghantaran dadah," katanya.

Dalam serbuan terakhir pada 4 Julai lalu, Shazeli berkata, polis bantuan MAHB KLIA mengesan dua lagi bagasi mencurigakan di terminal KLIA sebelum menahan seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun yang dipercayai pemilik bagasi tersebut.

"Pemeriksaan lanjut menemukan 68 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 35.5 kilogram dengan nilai rampasan berjumlah RM2.84 juta," katanya.

Shazeli berkata, hasil siasatan lanjut mendapati tiga individu warga tempatan mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

"Hasil saringan awal air kencing mendapati hanya dua suspek tempatan positif dadah. Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!