'Memang bukan saya' - Salina Saibi

AKTRES senior, Salina Saibi menegaskan bukan dirinya yang dimaksudkan sebagai pelakon wanita drama bersiri kepolisan ditahan pada Selasa akibat positif tiga jenis dadah.
Salina, 44, berkata, dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan kes tersebut disifatkan keterlaluan kerana dia sentiasa berusaha menjaga nama baik, disiplin dan reputasi sepanjang bergelar anak seni.
"Memang bukan saya," katanya menerusi hantaran video di TikTok pada Selasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan terkenal, Gerak Khas 2.0 ditahan ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.
Serbuan Op Noda itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 3.15 pagi.
Menurut sumber, pelakon wanita itu yang juga pernah menyertai rancangan realiti nyanyian ditahan di dalam salah satu bilik VIP bersama beberapa individu lain.
Katanya lagi, ujian saringan awal ke atas pelakon berusia 40 tahun terbabit mendapati dia positif amphetamine, methamphetamine dan ketamin.
Dalam serbuan itu, seramai 14 individu ditahan terdiri penjaga premis, tujuh lelaki dan enam wanita.
Mengulas lanjut, Salina memaklumkan, kru produksi Gerak Khas 2.0 bersama barisan pelakon dan pengarahnya, Datuk Yusof Haslam pernah mengadakan perjumpaan bagi membincangkan syarat-syarat penggambaran drama berkenaan yang berlangsung selama lima bulan.
Pelakon jelita yang sudah 20 tahun membawakan watak Asisten Superintendan (ASP) Salina itu menegaskan bahawa dia sentiasa mengingatkan kru dan pelakon supaya menjaga tingkah laku kerana setiap tindak-tanduk anak seni sering menjadi perhatian umum.
Sementara itu, Yusof berkata, dirinya sempat memberi amaran kepada barisan pelakon, terutamanya individu ditahan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh mencemarkan nama baik drama misalnya pergi ke kelab malam, pusat karaoke dan sebagainya.
Bagaimanapun, kata beliau, amaran sebanyak dua kali itu tidak diendahkan pelakon berkenaan.
“Saya nasihatkan dia, kalau nak pergi kelab malam, karaoke dan sebagainya itu hak dia, tetapi berpada-pada kerana dia terlibat Gerak Khas 2.0.
“Pergi karaoke itu memang rutin dia, cuma kena kurang-kurangkan kerana dia membawa watak seorang polis.
“Apa pun amaran itu tidak diendahkan dan akhirnya membinasakan. Saya amat menjaga imej Gerak Khas dan tak mahu ia tercalar. Bukanlah kita ini sempurna sangat tapi sekurang-kurangnya saya tak mahu imej polis itu tercemar,” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
