Kastam rampas dadah RM1.796 juta dalam bungkusan teh dibuang ke laut

Wan Marini (tengah) menunjukkan bungkusan teh mengandungi dadah yang dicampakkan ke dalam laut di perairan Pulau Telur.
Wan Marini (tengah) menunjukkan bungkusan teh mengandungi dadah yang dicampakkan ke dalam laut di perairan Pulau Telur.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tindakan dua lelaki mencampakkan dua bagasi dan satu beg galas ke dalam laut di perairan Pulau Telur, menemukan 35.95 kilogram dadah bernilai lebih RM1.796 juta.

Pengarah Kastam Kedah, Wan Marini Wan Hamzah berkata, kejadian pada jam kira-kira 7 malam 14 Jun lalu itu disedari semasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia dari Cawangan Penguatkuasaan Marin Tanjung Dawai sedang menjalankan rondaan sekitar perairan terbabit.

Menurutnya, semasa rondaan dibuat, sebuah bot nelayan tidak bernombor dikesan dalam keadaan mencurigakan berhampiran Pulau Telur, Yan.

"Pasukan kemudian menghampiri bot berkenaan dan mengarahkan ia berhenti bagi tujuan pemeriksaan, bagaimanapun, dua lelaki atas bot dilihat mencampakkan dua buah bagasi dan satu beg galas ke laut sebelum memecut laju ke perairan antarabangsa tanpa dapat dikesan.

"Bagasi dan beg galas yang dicampakkan ke laut kemudian ditemukan dan dibawa ke Pejabat Marin Tanjung Dawai untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan 35 bungkusan teh yang disyaki di dalamnya mengandungi dadah jenis methamphetamine.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan bot serta individu yang terlibat, termasuk mengenal pasti kemungkinan penglibatan jenayah rentas sempadan.

Katanya, siasatan awal mendapati kemungkinan dadah terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui laluan laut dan menggunakan bot nelayan.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah berbahaya.

Artikel Berkaitan:

Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!