69 kertas siasatan Op Daya disyor didakwa

Abdul Halim Aman
Abdul Halim Aman
A
A
A

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan 69 daripada 81 kertas siasatan yang dibuka di bawah Op Daya melibatkan tuntutan palsu insentif Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) didakwa di mahkamah dengan pendakwaan dijangka bermula seawal minggu pertama Ogos.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, semua kertas siasatan berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara minggu depan bagi mendapatkan arahan pendakwaan.

"Jika proses berjalan lancar dan keputusan diperoleh daripada Jabatan Peguam Negara, pertuduhan akan didaftarkan di mahkamah pada minggu berikutnya atau selewat-lewatnya minggu pertama Ogos," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.

Menurut beliau, daripada 81 kertas siasatan yang dibuka setakat 8 Julai, sebanyak 69 kes disyorkan untuk pertuduhan, enam kes dicadangkan untuk tindakan tatakelola, manakala lima lagi dicadangkan supaya tiada tindakan lanjut (NFA).

Beliau berkata, sepanjang operasi yang dilancarkan sejak 9 Jun lalu, seramai 98 individu telah ditahan, 77 daripadanya direman, manakala sebanyak 724 rakaman percakapan telah diambil bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan dijalankan terhadap dakwaan 143 syarikat mengemukakan dokumen dan bukti palsu bagi mendapatkan kelulusan bayaran insentif PERKESO melibatkan 320 pekerja dengan nilai tuntutan dianggarkan RM9.12 juta.

Selain itu, katanya, SPRM turut menyita wang tunai, emas dan pelbagai barangan berharga bernilai RM74,168, selain membekukan 36 akaun syarikat melibatkan kira-kira RM463,076.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, siasatan bukan sahaja memfokuskan kepada unsur jenayah dan rasuah, malah turut meneliti aspek tatakelola yang membuka ruang kepada berlakunya penyelewengan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati wujud beberapa kelemahan dalam proses kelulusan tuntutan, termasuk kegagalan melaksanakan semakan wajar (due diligence) terhadap dokumen yang dikemukakan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, SPRM juga mendapati berlaku penumpuan kuasa apabila pegawai yang sama bertanggungjawab menyemak dan meluluskan permohonan tanpa mekanisme semakan silang.

"Kita juga mendapati tiada SOP kelulusan yang jelas, tiada semakan status pekerja sebelum bayaran insentif dibuat serta tiada pengelasan syarikat sama ada syarikat swasta, GLC atau GLIC.

"Semua kelemahan ini akan kita syorkan kepada PERKESO untuk dibuat penambahbaikan bagi menutup ruang berlakunya penyelewengan pada masa hadapan," katanya.

Ditanya mengenai sama ada pegawai integriti ditempatkan di PERKESO, Abdul Halim berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk berbuat demikian selepas menerima permintaan daripada pertubuhan itu,

"Setakat ini belum ada, namun selepas kes ini timbul, mereka telah memohon supaya seorang pegawai integriti ditempatkan di PERKESO. Insya-ALLAH saya akan menghantar seorang pegawai bagi membantu mereka,'" katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!