Wanita maut 8 hari selepas beli insurans, keluarga terima pampasan lebih RM80,000

NEW DELHI – Harapan sebuah keluarga untuk mendapatkan pampasan insurans akhirnya tercapai selepas sebuah suruhanjaya pengguna di Andhra Pradesh, India mengarahkan syarikat insurans membayar tuntutan bernilai 2.025 juta rupee (RM86,900) selepas pemegang polisi meninggal dunia hanya lapan hari selepas membeli perlindungan tersebut.
Wanita berusia 34 tahun itu meninggal dunia pada Disember 2022 akibat serangan jantung selepas polisi insurans hayat daripada Tata AIA Life Insurance mula berkuat kuasa.
Suaminya yang dinamakan sebagai penama bersama tiga anak lelaki kemudian menuntut bayaran perlindungan berjumlah 2 juta rupee (RM85,800), namun tuntutan tersebut ditolak oleh syarikat insurans.
Syarikat itu mendakwa wanita berkenaan gagal mendedahkan sejarah kesihatan termasuk masalah sakit dada dan anemia ketika mengemukakan permohonan polisi.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pertikaian Pengguna Daerah Andhra Pradesh memutuskan penolakan tuntutan itu tidak berasas selepas mendapati syarikat insurans gagal mengemukakan bukti kukuh mengenai dakwaan tersebut.
Dalam keputusan bertarikh 3 Julai lalu, panel yang dipengerusikan D Sreedevi bersama anggota Y Sundara Rao dan Dr S A Sameera berkata, syarikat insurans tidak berjaya membuktikan berlaku penyembunyian maklumat kesihatan atau kewujudan penyakit sedia ada sebelum polisi dikeluarkan.
Menurut laporan, mangsa membeli polisi berkenaan pada 1 Disember 2022 dengan perlindungan bernilai 2 juta rupee (RM85,800) selepas membayar premium sebanyak 3,122 rupee (RM134).
Namun, hanya lapan hari kemudian, wanita itu meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung pada 9 Disember 2022.
Suruhanjaya mendapati dokumen perubatan yang digunakan syarikat insurans sebagai alasan menolak tuntutan tidak mempunyai pengesahan mencukupi.
Laporan makmal dan rekod rawatan pesakit luar yang dikemukakan tidak dapat membuktikan secara jelas bahawa wanita tersebut benar-benar mempunyai penyakit sedia ada sebelum polisi bermula.
Suruhanjaya turut mendapati tiada rekod menunjukkan mangsa mengalami anemia atau pernah menerima rawatan sebagai pesakit sebelum mendapatkan perlindungan insurans.
Susulan keputusan itu, syarikat insurans diarahkan membayar jumlah perlindungan 2 juta rupee (RM85,800) kepada suami dan tiga anak mangsa.
Jumlah itu akan dibahagikan sama rata kepada empat penerima dengan setiap seorang menerima 500,000 rupee (kira-kira RM21,450).
Bahagian milik tiga anak mangsa yang masih bawah umur pula diarahkan disimpan dalam simpanan tetap sehingga mereka mencapai usia dewasa.
Selain bayaran tuntutan, syarikat insurans turut diarahkan membayar pampasan sebanyak 20,000 rupee (RM858) atas kegagalan memberikan perkhidmatan sewajarnya serta 5,000 rupee (sekitar RM215) bagi kos guaman.
Sementara itu, Tata AIA mempertahankan keputusan menolak tuntutan tersebut dengan alasan siasatan mendapati mangsa didakwa tidak mendedahkan keadaan kesihatannya ketika membeli polisi.
Syarikat itu berhujah kematian berlaku dalam tempoh terlalu singkat selepas polisi dikeluarkan dan mendakwa wujud maklumat kesihatan penting yang tidak dinyatakan dalam borang permohonan.
Namun, alasan berkenaan gagal meyakinkan suruhanjaya selepas syarikat tidak dapat membuktikan dakwaan tersebut dengan bukti yang sah.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

