PRN Johor: Pengundi bukan bahan uji kaji parti Kancil - AMK

KUALA LUMPUR – Pengundi di Johor dimintamembuat pilihan secara bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini dengan menolak Parti Kancil yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amira Alias berkata, rakyat perlu menghantar mesej jelas bahawa mereka bukan bahan uji kaji kepada parti politik yang masih baharu.
Menurutnya, rakyat ketika ini mahukan kestabilan politik, dasar yang konsisten serta sebuah kerajaan yang mampu menyelesaikan isu dihadapi mereka.
“Bagi saya, pengundi di Johor harus menyampaikan mesej yang jelas bahawa mereka bukan dijadikan bahan uji kaji mana-mana parti politik.
“Rakyat hari ini mahukan kestabilan, mereka mahukan dasar yang konsisten dan sebuah kerajaan yang benar-benar bekerja untuk menyelesaikan masalah mereka.
“Politik yang terlalu kerap berubah atau percaturan yang hanya mementingkan kepentingan sesebuah parti akhirnya akan memberi kesan kepada ekonomi, keyakinan pelabur dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, PRN Johor bukan sekadar memilih calon atau parti, sebaliknya menentukan hala tuju negeri dan negara bagi beberapa tahun akan datang.
Sehubungan itu, Amira meminta rakyat membuat keputusan berdasarkan fakta, rekod pencapaian serta perancangan masa depan, bukannya dipengaruhi fitnah, khabar angin atau politik kebencian.
“Saya percaya rakyat hari ini semakin matang. Mereka mampu menilai siapa yang benar-benar bekerja, siapa yang konsisten membawa dasar yang memberi manfaat kepada rakyat dan siapa yang hanya muncul apabila musim pilihan raya.
“Oleh itu, saya menyeru semua pengundi Johor supaya menggunakan hak mengundi dengan penuh tanggungjawab. Nilailah berdasarkan prestasi dan kemampuan sesebuah kerajaan untuk mentadbir dengan stabil,” katanya.
Menurut beliau, mandat yang diberikan rakyat bukanlah cek kosong kepada mana-mana kerajaan, sebaliknya satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Beliau berkata, sekiranya rakyat mahukan kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi yang mampan serta reformasi yang berterusan, kerajaan sedia ada wajar diberikan peluang meneruskan agenda yang sedang dilaksanakan.
“Kalau kita lihat keadaan negara sebelum ini, antara cabaran terbesar ialah ketidakstabilan politik yang menjejaskan keyakinan pelabur dan ekonomi.
“Hari ini, walaupun masih banyak ruang yang perlu diperbaiki, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya mewujudkan suasana politik yang lebih stabil bagi membolehkan dasar-dasar ekonomi dilaksanakan dengan lebih teratur.
“Dari sudut ekonomi pula, kita dapat melihat usaha kerajaan menarik pelaburan berkualiti ke dalam negara. Pelaburan ini bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya membuka peluang pekerjaan, membangunkan industri bernilai tinggi serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara.
“Kesan daripada usaha ini tidak berlaku dalam sehari, namun ia menjadi asas penting kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka panjang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
