Rafizi masih ada ‘magnet’ pengundi?

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bukan sekadar pertembungan antara blok politik gergasi sebaliknya menjadi gelanggang paling penting untuk mengukur sama ada Datuk Seri Rafizi Ramli masih memiliki 'magnet' undi selepas meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menerajui Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Rafizi sendiri sebelum ini mengakui Johor akan menjadi penanda aras menilai penerimaan pengundi terhadap Bersama termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India.
Hakikatnya, ramai melihat PRN Johor bukan referendum kepada Bersama semata-mata tetapi terhadap Rafizi sendiri kerana bekas Menteri Ekonomi tersebut merupakan wajah dan penggerak utama serta aset terbesar dimiliki parti itu ketika ini.
Jika Bersama gagal memperoleh undi meyakinkan, persoalan pertama yang akan timbul ialah sama ada pengaruh Rafizi selama ini sebenarnya lahir daripada kekuatan PKR dan Pakatan Harapan (PH) dan bukan sokongan yang datang kepada dirinya.
Sebab itu, keputusan PRN Johor nanti akan menjadi ukuran paling jelas sama ada Rafizi masih mempunyai kelompok penyokong yang sanggup mengikutnya selepas meninggalkan parti yang pernah menjadi platform utama kebangkitan politiknya.
Lebih menarik, Rafizi sendiri tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi apabila mengakui Bersama sanggup bertanding secara bersendirian walaupun berisiko kehilangan deposit, asalkan dapat menawarkan pilihan baharu kepada pengundi yang semakin jemu dengan politik lama.
Kenyataan tersebut menunjukkan beliau sedar perjalanan Bersama masih panjang, namun rakyat lazimnya membuat penilaian berdasarkan keputusan pilihan raya dan bukannya semata-mata kepada semangat atau idealisme yang dibawa sesebuah parti.
Dalam sejarah politik negara, bukan sedikit tokoh yang dianggap berpengaruh akhirnya ‘tenggelam’ selepas gagal membuktikan kekuatan sebenar mereka apabila berdepan ujian pertama di medan pilihan raya.
Ia termasuk pengalaman Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad apabila gagal mencipta impak besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, ukuran kejayaan Bersama tidak semestinya berdasarkan jumlah kerusi dimenangi kerana parti baharu lazimnya memerlukan masa untuk membina akar umbi dan keyakinan dalam kalangan pengundi.
Apa yang lebih penting ialah jumlah undi yang berjaya diperoleh, khususnya di kawasan bandar dan separuh bandar yang selama ini menjadi kubu kuat penyokong reformasi serta kelompok pengundi yang lebih terbuka kepada perubahan.
Sekiranya Bersama berjaya menarik sebahagian sokongan pengundi bandar dan separa bandar yang sebelum ini cenderung kepada PKR dan PH, mesej politik yang dihantar kepada lawan dan kawan akan menjadi cukup besar.
Keadaan itu bukan perkara baharu dalam politik kerana banyak pilihan raya terdahulu menyaksikan parti kecil gagal menang tetapi berjaya mengubah keputusan melalui pemecahan undi dalam kalangan penyokong parti.
Pada masa sama, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) juga tidak boleh memandang ringan kemunculan parti kancil itu kerana kehadiran parti baharu sering membawa unsur kejutan.
Ekoran itu, keputusan PRN Johor nanti bukan sahaja menentukan masa depan Bersama, malah boleh menjadi penentu sama ada Rafizi masih relevan sebagai tokoh politik yang mampu mempengaruhi perjalanan politik negara menjelang PRU16.
*Raiham Mohd Sanusi ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

