Ceroboh Hutan Simpan Kekal ketika PKP

Seorang lelaki berusia 26 tahun yang ditahan JPNK ketika sedang leka membersihkan kompartmen 38 di Hutan Simpan Kekal Padang Terap, semalam. -FOTO JPNK
Seorang lelaki berusia 26 tahun yang ditahan JPNK ketika sedang leka membersihkan kompartmen 38 di Hutan Simpan Kekal Padang Terap, semalam. -FOTO JPNK
A
A
A

KUALA NERANG - Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) berjaya menahan seorang lelaki yang sedang leka membersihkan kompartmen 38 di Hutan Simpan Kekal Padang Terap manakala dua lagi rakannya melarikan diri ketika serbuan semalam.

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, lelaki berusia 26 tahun itu telah dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, dua lelaki yang berjaya meloloskan diri dianggarkan berumur antara 30 hingga 40-an sedang menebang pokok, namun sempat melarikan diri ke dalam semak berhampiran dengan membawa gergaji.

"Maklumat tentang pencerobohan hutan ini telah disedari oleh orang awam dan menyalurkan kepada JPNK untuk memulakan tindakan.

"Kegiatan ini dipercayai telah dilakukan sejak minggu lalu dengan tujuan untuk menanam pokok durian dan mereka dipercayai mengambil kesempatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Modus operandi mereka adalah menebang pokok dan membakar sebelum meratakan tanah bagi tujuan pertanian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara pokok bernilai tinggi yang telah ditebang oleh penceroboh di kompartmen 38 di Hutan Simpan Kekal Padang Terap. -FOTO JPNK
Antara pokok bernilai tinggi yang telah ditebang oleh penceroboh di kompartmen 38 di Hutan Simpan Kekal Padang Terap. -FOTO JPNK

Katanya, kerajaan dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM50,000 berikutan pokok berkualiti tinggi seperti meranti dan merbau ditebang di kawasan seluas tiga hektar.

Artikel Berkaitan:

"Kami telah merampas merampas tiga buah motosikal dan empat bilah parang yang digunakan bagi tujuan pertanian di kawasan hutan simpan ini," katanya.

Dalam pada itu, Roslan berkata, sepanjang pelaksanaan PKP, sumbangan makanan asas kepada kakitangan jabatan yang terkesan turut disampaikan menerusi Persatuan Kebajikan dan Sukan Negeri Kedah (PEKSKED) dan Puspanita JPNK.

Menurutnya, sebanyak 35 kakitangan yang majoritinya daripada peringkat golongan pelaksana yang mempunyai tanggungan yang ramai, suami atau isteri yang sakit menerima manfaat daripada sumbangan tersebut.

Kawasan yang telah dibersihkan dan diratakan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan pertanian di kompartmen 38 di Hutan Simpan Kekal Padang Terap. -FOTO JPNK
Kawasan yang telah dibersihkan dan diratakan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan pertanian di kompartmen 38 di Hutan Simpan Kekal Padang Terap. -FOTO JPNK