Buruh, penganggur didenda miliki MyKad orang lain

Tertuduh, Muhammad Al-Mujib (depan) dan Shaleh (kiri) diiringi pegawai JPN keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman pada Rabu.
Tertuduh, Muhammad Al-Mujib (depan) dan Shaleh (kiri) diiringi pegawai JPN keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN- Dua lelaki masing-masing didenda RM5,000 dan RM6,000 selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan memiliki kad pengenalan atau MyKad individu lain dalam satu operasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), 3 Julai lalu.

Tertuduh, Shaleh Sintam, 45, dan Muhammad Al-Mujib Arman, 23, yang dituduh secara berasingan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Ekoran pengakuan bersalah itu, Shaleh didenda RM6,000 atau penjara lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut manakala Muhammad Al-Mujib diperintahkan membayar denda RM5,000 atau tujuh bulan penjara.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki kad pengenalan orang lain sebagai dokumen pengenalan diri semasa operasi yang dijalankan pegawai penguat kuasa JPN Negeri Pahang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 12.30 hingga 3.30 pagi 3 Julai lalu di dua rumah di Kampung Pantai Balok, Jalan Kuantan- Kemaman, di sini.

Bagi kesalahan itu, buruh dan penganggur itu didakwa di bawah Peraturan 25(1)(0) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.

Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikemukakan Pegawai Pendakwa JPN, Fahkrol Anuar Sani dan Mohd Hazri Mohd Hairoudin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Berdasarkan fakta kes dikemukakan, Bahagian Penguatkuasaan (BSK) JPN Pahang telah menjalankan satu operasi terancang di lokasi tersebut pada masa dan tarikh berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Semasa pemeriksaan dibuat (berasingan) tertuduh telah menyerahkan dokumen pengenalan didakwa milik mereka namun semakan yang dibuat mendapati imej dan cap ibu jari tertuduh tidak sepadan dengan nombor kad pengenalan diserahkan.

Tertuduh telah ditahan dan dibawa ke JPN Negeri Pahang untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, Shaleh yang berasal dari Sabah merayu agar dikenakan hukuman berbentuk denda paling minimum memandangkan dia hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Bapa tunggal itu turut mendakwa dia seorang warganegara namun tidak pernah memohon untuk mendapatkan MyKad sebaliknya hanya mempunyai salinan sijil kelahiran.

Manakala Muhammad Al-Mujib tidak bekerja hanya bergantung kepada ibu yang bekerja kilang dengan gaji RM1,000 sebulan.

Bagaimanapun pihak pendakwaan memohon hukuman lebih berat sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang lain terhadap kesalahan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!