Cemas rumah diceroboh lelaki tidak dikenali

Tangkap layar video memaparkan seorang individu didakwa menceroboh sebuah rumah.
Tangkap layar video memaparkan seorang individu didakwa menceroboh sebuah rumah.
A
A
A

GOMBAK - Seorang wanita menempuh detik cemas apabila rumahnya diceroboh individu tidak dikenali ketika berada di bahagian dapur kediamannya di Taman Tun Teja, Rawang di sini pada Isnin.

Suspek bagaimanapun berjaya diberkas anggota kereta peronda polis (MPV) beberapa jam kemudian ketika membuat rondaan berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya mengesan satu hantaran tular di media sosial berhubung kejadian pencerobohan rumah itu sebelum semakan mendapati mangsa membuat laporan polis pada jam 7.49 malam.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 petang apabila seorang lelaki warga tempatan menceroboh masuk ke dalam rumah pengadu ketika wanita terbabit berada di bahagian dapur.

"Mangsa kemudian menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan berhubung kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 11.30 malam pada hari sama, anggota MPV dari Balai Polis Rawang berjaya menahan suspek ketika membuat rondaan berhampiran lokasi kejadian.

"Susulan tangkapan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

"Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Menurutnya, individu terbabit telah dituduh di Mahkamah Majistret Selayang.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa mengambil langkah keselamatan termasuk memastikan pintu rumah berkunci bagi mengelakkan kejadian pencerobohan.

"Pihak polis akan terus meningkatkan rondaan berkala bagi mengekang kejadian seumpama itu daripada berulang," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!