Projek ternakan arnab bantu tingkat taraf hidup asnaf

Projek ternakan arnab diusahakan menerusi program Sejati Madani beri pulangan lumayan kepada peserta.
Projek ternakan arnab diusahakan menerusi program Sejati Madani beri pulangan lumayan kepada peserta.
A
A
A

MUAR – Program ternakan arnab di bawah inisiatif Sejati Madani di Kampung Sungai Muda yang bermula dengan hanya 50 ekor arnab dua tahun lalu, kini berkembang kepada 600 ekor, sekali gus membuka peluang kepada golongan asnaf menjana pendapatan.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Muda, Mohd Adli Othman berkata, projek itu menerima geran Sejati Madani berjumlah RM100,000 daripada Jabatan Perdana Menteri pada 2024.

Menurutnya, projek berkenaan dipilih kerana penternakan arnab masih kurang diterokai di bawah program tersebut, selain berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu kepada komuniti.

Mohd Adli
Mohd Adli

"Kami memilih golongan asnaf yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk menguruskan ternakan ini supaya mereka dapat menjana pendapatan, sekali gus mengurangkan jurang kemiskinan.

"Sebelum menerima geran ini, projek hanya mempunyai kira-kira 50 ekor arnab, namun kini berkembang kepada lebih 600 ekor," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, projek itu kini mempunyai kira-kira 250 ekor arnab induk daripada baka Chinchilla, New Zealand White, Lion Head dan Mini Rex.

Katanya, selain menjual arnab induk dan arnab hiasan, pihaknya turut memasarkan daging arnab pada harga RM48 sekilogram, minyak arnab RM25 sebotol serta baja arnab RM5 bagi setiap pek seberat 500 gram.

Artikel Berkaitan:

Projek ternakan arnab diusahakan menerusi program Sejati Madani.
Projek ternakan arnab diusahakan menerusi program Sejati Madani.

Mohd Adli berkata, sambutan terhadap produk ternakan itu menggalakkan, terutama daripada penduduk setempat, selain JPKK sendiri lebih menumpukan program kebajikan kepada penduduk kampung.

"Setakat ini kami pernah membekalkan daging arnab kepada Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail sebanyak dua kali, namun terpaksa menghentikannya kerana belum mampu memenuhi permintaan.

"Begitu juga dengan peniaga sate yang memerlukan bekalan dalam kuantiti besar. Mereka sudah mempunyai pembekal sendiri dan kami lebih menumpukan pemasaran kepada penduduk setempat sahaja," katanya.

Sejati Madani di Kampung Sungai Muda bantu jana pendapatan penduduk kampung.
Sejati Madani di Kampung Sungai Muda bantu jana pendapatan penduduk kampung.

Ujarnya, seekor arnab betina mampu melahirkan sehingga 10 ekor anak bagi setiap kelahiran dengan kekerapan kira-kira sekali setiap dua bulan dan lazimnya dipasarkan ketika berusia kira-kira 100 hari.

Katanya lagi, antara cabaran utama penternakan arnab ialah penyakit kurap yang dikawal melalui rawatan dan pemberian ubat.

Tambahnya, hasil pendapatan projek itu disalurkan semula kepada komuniti menerusi program bank makanan, bantuan tunai serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

"Alhamdulillah, projek ini bukan sahaja memberi peluang kepada komuniti menambah pendapatan, malah menjadi antara usaha membantu membasmi kemiskinan di peringkat kampung," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!