1,500 penduduk meriahkan JUS Vol. 2

Manndzri (tengah) bersama peserta Program Jalan Untuk Sihat (JUS) Vol. 2 di Dataran Kejat, Bandar Tenggara di Kota Tinggi pada Ahad.
Manndzri (tengah) bersama peserta Program Jalan Untuk Sihat (JUS) Vol. 2 di Dataran Kejat, Bandar Tenggara di Kota Tinggi pada Ahad.
A
A
A

KOTA TINGGI - Lebih 1,500 penduduk Bandar Tenggara daripada pelbagai lapisan usia memeriahkan Program Jalan Untuk Sihat (JUS) Volume 2 di Dataran Kejat, Bandar Tenggara, di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Tenggara merangkap Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib berkata, program seawal jam 7 pagi itu memperlihatkan kesungguhan komuniti kawasan itu dalam membudayakan amalan gaya hidup aktif.

Katanya, program yang diadakan sempena Program RISDA Agromajestic Negeri Johor 2026 juga menyaksikan jumlah kehadiran peserta melonjak sekali ganda berbanding sasaran awal penganjur iaitu sekitar 700 peserta.

"Apa yang kita dapat lihat adalah semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh segenap peringkat umur demi menjayakan acara berjalan kaki sejauh 2.5 kilometer (km).

"Kebetulan memang kalau kita buat program sebegini, anak- anak muda dan kanak-kanak pun berjalan, warga emas yang berumur pun berjalan. Malah, ada yang membawa tongkat tadi pun turut serta berjalan bersama-sama kita.

"Acara seperti ini bukan sahaja menyihatkan badan, tetapi turut menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran tetangga dan komuniti setempat. Jika kita tidak anjurkan, memang jarang ada peluang untuk semua golongan berkumpul secara sihat seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Jalan Untuk Sihat (JUS) Volume 2 di Dataran Kejat, Bandar Tenggara pada Ahad.

Turut hadir, Pengarah RISDA Johor, Muhd Khairuddahri Abd Rahman dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Dr Naqib Ghazali.

Manndzri turut memaklumkan program JUS itu yang kini memasuki tahun kedua penganjurannya merupakan aktiviti tahunan dianjurkan di parlimen tersebut.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu program berkenaan turut dimeriahkan dengan senamrobik selain sembilan pertandingan mengikut kategori yang menawarkan hadiah kepada peserta.

Antaranya kategori pemenang terpantas, peserta berkumpulan paling ramai, peserta paling bersemangat, pakaian paling kreatif dan keluarga paling sporting.

Turut dipertandingkan kategori paling senior, paling junior, pasangan warga emas paling romantik dan pasangan paling romantik selain acara cabutan bertuah.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!