Kes pelajar ditikam: JPN Selangor ziarah, santuni mangsa dan keluarga

SHAH ALAM - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor hari ini menyantuni keluarga dan pelajar perempuan yang cedera ditikam di sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat.
JPN Selangor menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan kunjungan ziarah berkenaan diketuai Pengarahnya, Wan Nor Ashikin Abu Kassim di Hospital Banting di Kuala Langat, hari ini.
"Beliau (Wan Nor Ashikin) berkesempatan menziarah pelajar itu yang sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.
"Dalam lawatan itu, beliau turut meluangkan masa menyantuni ibu bapa pelajar itu bagi menzahirkan rasa prihatin dan memberi kata-kata semangat dan sokongan kepada mereka," maklum hantaran itu.
Menurut JPN Selangor, pihaknya sentiasa mendoakan kesembuhan segera pelajar dan komited memberi kerjasama kepada keluarga, hospital dan semua agensi terlibat.
"Semoga pelajar itu diberikan kesembuhan yang sempurna dan dipermudahkan segala urusan," menurut hantaran itu.
Terdahulu, suspek kes tikam seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah di Banting direman empat hari bermula hari ini.
Semalam, JPN Selangor dalam kenyataan memaklumkan suspek yang dipercayai menikam seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Banting telah ditahan pihak polis.
JPN Selangor turut memaklumkan pelajar perempuan yang cedera sedang diberikan rawatan di Hospital Banting.
Bapanya ketika ditemui semalam memaklumkan anaknya berusia 15 tahun cedera di bahagian paru-paru selain turut mengalami 16 luka tikaman.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
