Bacaan ayat al-Quran delegasi berbeza, cerminan diplomasi halus di pengebumian Khamenei

TEHERAN – Upacara pengebumian Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, menarik perhatian antarabangsa apabila setiap delegasi asing dilaporkan menerima bacaan ayat al-Quran yang berbeza ketika memberi penghormatan di ibu negara itu.
Menurut laporan media antarabangsa, bacaan ayat tersebut dimainkan ketika wakil negara-negara asing menghampiri keranda Allahyarham di Grand Mosalla, Teheran sekali gus mencerminkan pendekatan berbeza dalam protokol penghormatan kepada setiap delegasi.
Walaupun tiada pengesahan rasmi daripada pihak penganjur mengenai pemilihan ayat-ayat tersebut, beberapa laporan media menyifatkannya sebagai satu bentuk isyarat simbolik yang menggambarkan hubungan diplomatik Iran dengan negara-negara berkenaan.
Antara yang menjadi perhatian ialah delegasi Arab Saudi yang diketuai Timbalan Menteri Luar Waleed Al-Khuraiji, yang dilaporkan menerima bacaan ayat berkaitan Perang Badar, peristiwa sejarah Islam yang sering dikaitkan dengan kemenangan pihak yang lebih kecil dalam pertempuran.
Selain itu, delegasi dari beberapa negara lain termasuk Turkiye, Pakistan, Qatar, Hamas dan Hizbullah turut menerima bacaan ayat yang berbeza, yang sesetengah pemerhati melihat sebagai simbolik kepada hubungan serta peranan negara masing-masing di rantau itu.
Qatar, yang memainkan peranan sebagai pengantara dalam beberapa rundingan serantau, dilaporkan menerima bacaan ayat berkaitan keampunan dan limpah kurnia, manakala Pakistan pula dikaitkan dengan ayat yang menggambarkan penghargaan terhadap hubungan diplomatik.
Upacara tersebut turut dihadiri lebih 70 delegasi antarabangsa termasuk dari Rusia, China, Iraq, Oman, Mesir, Azerbaijan serta beberapa negara Asia dan Asia Barat lain.
Kehadiran delegasi berkenaan mencerminkan kedudukan diplomatik Iran yang masih mengekalkan hubungan aktif dengan pelbagai blok negara di peringkat serantau dan global.
Dalam pada itu, perhatian turut diberikan kepada detik melibatkan Hassan Khomeini, cucu kepada pengasas Republik Islam Iran, yang dilaporkan berada berhampiran keranda ketika bacaan ayat tertentu dimainkan.
Khamenei dilaporkan terbunuh bersama beberapa ahli keluarganya dalam serangan di kediamannya pada Februari lalu, yang mencetuskan beberapa minggu ketegangan di rantau Asia Barat.
Upacara pengebumian beliau di Teheran menjadi antara acara diplomatik terbesar, dengan kehadiran wakil dari pelbagai negara termasuk kuasa besar Asia dan Asia Barat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

