Israel ingkar keputusan Mahkamah Agung, cetus kebimbangan krisis Perlembagaan

BAITULMAQDIS – Kerajaan Israel buat pertama kalinya bertindak mengingkari keputusan Mahkamah Agung apabila Kabinet sebulat suara menolak arahan mahkamah berhubung pengawal selia penyiaran negara, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya krisis Perlembagaan.
Keputusan yang dibuat pada Ahad itu dilihat sebagai perkembangan terbaharu dalam pertelagahan berpanjangan antara kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dengan badan kehakiman.
Mengikut undang-undang Israel, Pihak Berkuasa Kedua bagi Televisyen dan Radio perlu mempunyai bilangan minimum ahli majlis sebelum boleh membuat sebarang keputusan rasmi.
Bagaimanapun, kerajaan berpendapat majlis itu tidak lagi memenuhi syarat berkenaan dan oleh itu tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan pelantikan atau membuat keputusan lain.
Pada 17 Jun lalu, Mahkamah Agung mengarahkan majlis tersebut meneruskan tugasnya walaupun bilangan ahlinya tidak mencukupi.
Namun, Kabinet pada Ahad memutuskan untuk tidak mengiktiraf keputusan mahkamah itu.
Menteri Komunikasi, Shlomo Karhi dan Menteri Kehakiman, Yariv Levin dalam satu kenyataan bersama berkata, kerajaan tidak akan mengiktiraf sebarang keputusan atau tindakan yang dibuat oleh majlis itu sehingga keanggotaan minimum dipenuhi.
Kabinet turut menegaskan mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mengenepikan undang-undang yang diluluskan Parlimen.
"Keputusan mahkamah yang bercanggah dengan undang-undang tidak akan diiktiraf dan semua keputusan yang dibuat berdasarkan arahan itu adalah terbatal," menurut kenyataan Kabinet.
Karhi berkata, hakim bukanlah badan legislatif dan sebarang keputusan yang dibuat oleh pengawal selia penyiaran selepas ini tidak mempunyai nilai.
Levin pula menegaskan apabila Parlimen meluluskan sesuatu undang-undang, mahkamah perlu mematuhinya.
Pembangkang beri amaran
Keputusan kerajaan itu dikecam hebat oleh pemimpin pembangkang.
Ketua pembangkang, Yair Lapid mendakwa, kerajaan telah bertindak melanggar undang-undang.
"Ini merupakan krisis Perlembagaan paling serius dalam sejarah Israel. Ia memusnahkan asas demokrasi negara," katanya.
Bekas Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett pula memberi amaran bahawa kegagalan mematuhi keputusan mahkamah boleh membawa kepada keadaan huru-hara dan perpecahan negara.
Sementara itu, tokoh pembangkang, Gadi Eisenkot mendakwa, kerajaan sedang mengancam sistem demokrasi negara dan menuduh Netanyahu terus memecahbelahkan rakyat Israel.
Boleh jejas urusan media
Pertikaian itu dijangka memberi kesan terhadap cadangan penjualan Channel 13, salah sebuah rangkaian televisyen komersial utama Israel yang sering mengkritik kerajaan Netanyahu kepada sekumpulan usahawan teknologi.
Selain itu, isu berkenaan turut boleh menjejaskan status Channel 14, sebuah stesen televisyen yang cenderung menyokong Netanyahu, sama ada ia terus diklasifikasikan sebagai "saluran kecil", iaitu status yang membolehkannya menikmati pelbagai pengecualian dan kelebihan kawal selia.
Pada 2022, kerajaan Netanyahu pernah mencetuskan kontroversi apabila mengemukakan cadangan pembaharuan kehakiman bagi mengehadkan kuasa Mahkamah Agung.
Cadangan itu mencetuskan bantahan besar-besaran di Israel serta kritikan antarabangsa sebelum akhirnya ditangguhkan susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Pilihan raya umum Israel dijangka diadakan sekitar September atau Oktober tahun ini, namun tarikh rasmi masih belum diumumkan. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

