Lari selepas BMW terbabas, tiga termasuk seorang wanita dicekup di ladang

Kereta BMW yang dinaiki mereka terbabas ketika cuba mengelak sekatan jalan raya di Jalan Lipis-Merapoh. Foto polis
Kereta BMW yang dinaiki mereka terbabas ketika cuba mengelak sekatan jalan raya di Jalan Lipis-Merapoh. Foto polis
A
A
A

LIPIS - Tiga warga Myanmar yang melarikan diri selepas kereta BMW yang dinaiki mereka terbabas ketika cuba mengelak sekatan jalan raya di Jalan Lipis-Merapoh di sini berjaya ditahan polis pada pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, dua lelaki dan seorang wanita itu ditahan kira-kira jam 8.45 pagi di sebuah ladang yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi kemalangan.

“Ketiga-tiga suspek mengalami kecederaan ringan ketika ditemui,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Isnin, kereta BMW berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan bersama lima warga Myanmar yang gagal berhenti ketika diarahkan berbuat demikian dalam sekatan jalan raya di Kilometer 28, Jalan Lipis-Merapoh.

Menurutnya, kereta itu kemudian terbabas selepas bergerak kira-kira lima kilometer sebelum merempuh sebuah tangki air di hadapan kedai makan.

“Pemandu bersama dua penumpang wanita warga Myanmar ditahan selepas kejadian, manakala tiga lagi penumpang melarikan diri sebelum berjaya dikesan pagi ini,” katanya.

Ismail berkata, ujian saringan awal mendapati pemandu kereta terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas selepas gagal mematuhi arahan polis ketika sekatan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua warga Myanmar terbabit pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!