Imigresen gempur Pasar Malam Taman Maluri, 200 PATI dicekup

KUALA LUMPUR - Pasar malam Taman Maluri di sini yang menjadi tumpuan kehadiran warga asing digempur pada Ahad.
Serbuan Op Kutip dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hasil maklumat dan risikan selama dua minggu.
Operasi bermula jam 6 petang itu menyebabkan ramai warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) bertempiaran lari selepas melihat kehadiran pasukan operasi.
Malah ada cubaan antara warga asing itu bersembunyi, namun berjaya dikesan menerusi pemantauan ketat anggota operasi.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, seramai 200 warga asing ditahan hasil pemeriksaan 500 individu membabitkan 407 warga asing dan 93 tempatan.
"Jumlah tangkapan terdiri daripada 125 lelaki dan 75 wanita membabitkan warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Vietnam, China, Pakistan dan India.
"Lokasi ini jadi sasaran berdasarkan kepada aduan yang kita terima daripada masyarakat setempat. Kebanyakan, warga asing ini membanjiri kawasan ini," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini pada Ahad.

Katanya lagi, antara kesalahan dikesan tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa, salah guna pas lawatan dan melanggar syarat pas.
Hamsha berkata, selain pasar malam di lokasi terbabit, JIM juga menumpukan perhatian kepada pasar-pasar malam lain yang menjadi tumpuan warga asing di ibu negara.
Tambahnya, JIM akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan di seluruh ibu negara bagi memastikan warga asing yang melanggar peraturan tidak senang duduk.
"Saya ingin menegaskan bahawa tindakan penguat kuasa bukan sahaja tertumpu kepada PATI, malah turut memberi fokus kepada majikan, pemilik premis, ejen, sindiket serta mana-mana individu yang melindungi PATI.
"Jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang imigresen dan akan terus melaksanakan operasi secara profesional, berintegriti serta berlandaskan peruntukan undang-undang," ujarnya.
Jelas Hamsha, beliau menyeru kepada masyarakat supaya terus menyalurkan maklumat kepada JIM berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang imigresen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
