Fadhlina tinjau lokasi kejadian pelajar ditikam

Fadhlina (tengah) ketika meninjau lokasi kejadian seorang pelajar yang dilaporkan ditikam di sebuah sekolah menengah. Foto Facebook Fadhlina Sidek
Fadhlina (tengah) ketika meninjau lokasi kejadian seorang pelajar yang dilaporkan ditikam di sebuah sekolah menengah. Foto Facebook Fadhlina Sidek
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meninjau sendiri lokasi kejadian seorang pelajar perempuan yang dilaporkan ditikam di sebuah sekolah menengah bagi melihat situasi serta perkembangan semasa insiden berkenaan.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil semua langkah keselamatan bagi mengawal keadaan.

“Saya berada di tempat kejadian sebentar tadi. PDRM telah mengambil semua langkah keselamatan mengawal keadaan termasuk menangkap suspek.

“Tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan mangsa diberikan rawatan perubatan dan sistem sokongan psikososial untuk warga sekolah menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera di bahagian badan dan bahu selepas dipercayai ditikam dalam insiden berkenaan.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan kekecohan di sebuah sekolah apabila seorang wanita berpakaian serba hitam sedang memegang sebilah pisau dan berlegar dalam kawasan sekolah.

Dalam pada itu, Fadhlina turut mendoakan agar pengetua, guru serta pelajar sekolah berkenaan terus diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi insiden tersebut.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu atau mereka-reka fitnah memandangkan kes berkenaan masih dalam siasatan PDRM.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar perempuan kena tikam di sekolah

Artikel Berkaitan:

Kes tikam pelajar: Mangsa diberi rawatan, suspek pula ditahan polis-JPN

Remaja perempuan tikam pelajar di sekolah ditahan polis

'Anak saya ditikam 14 hingga 16 kali' - Bapa pelajar ditikam di sekolah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!