Kes tikam pelajar: Mangsa diberi rawatan, suspek pula ditahan polis - JPN

SHAH ALAM - Pelajar yang tercedera dalam insiden tikam di sebuah sekolah di Selangor sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam satu kenyataan berkata, suspek kes ini pula telah ditahan oleh pihak polis.
"JPN Selangor memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
"Tumpuan utama pada ketika ini adalah untuk memastikan murid yang tercedera mendapat rawatan terbaik dan bantuan diberi kepada keluarga," katanya pada Isnin.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video di media sosial yang memaparkan seorang remaja perempuan berpakaian hitam berjalan di kawasan sekolah sambil memegang sebilah pisau.
Rakaman sama turut menunjukkan beberapa pelajar bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri ketika kejadian berlaku.
Selain itu, terdapat juga dakwaan mengenai suspek adalah bekas pelajar sekolah berkenaan yang dibuang dan ingin membalas dendam.
Tambah kenyataan itu, pasukan kaunselor dan Guru Bimbingan dan Kaunseling telah digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah tersebut.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

