PATI bertempiaran lari nampak Imigresen

Antara individu yang diperiksa JIM dalam Op Mega di sebuah pusat beli-belah di Bandar Botanik, Klang pada Rabu lalu. Foto: JIM
Antara individu yang diperiksa JIM dalam Op Mega di sebuah pusat beli-belah di Bandar Botanik, Klang pada Rabu lalu. Foto: JIM
A
A
A

KLANG - Cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) melepaskan diri selepas menyedari serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah pusat beli-belah di Bandar Botanik, di sini pada Rabu hanya sia-sia apabila lokasi itu dikepung lebih awal.

Op Mega itu digerakkan JIM dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

JIM dalam kenyataan berkata, operasi bermula jam 5 petang dilaksanakan hasil aduan awam dan risikan selama dua minggu.

Menurutnya, sebanyak 50 premis perniagaan dan 327 individu telah diperiksa sebelum membawa kepada penahanan 86 warga asing dari China, Kemboja, Filipina, Myanmar, Indonesia, India, Bangladesh dan Pakistan.

"Ketika operasi dijalankan, beberapa warga asing cuba melarikan diri namun cubaan tersebut berjaya dipatahkan hasil koordinasi pasukan operasi dan penggunaan dron bagi memantau laluan keluar.

"Tangkapan ini disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya pada Jumaat.

Tambahnya, dalam operasi yang sama, JPN menahan seorang wanita yang disyaki menggunakan kad pengenalan milik individu lain untuk disiasat mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78).

Katanya, selain itu, JIM turut mengeluarkan 11 Borang 29 (Saman) kepada warga Malaysia bagi membantu siasatan.

"Kesemua warga asing yang ditahan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegas JIM, pihaknya terus komited membanteras PATI serta membendung sebarang bentuk penyalahgunaan undang-undang imigresen.

"Tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana warga asing yang memasuki negara secara tidak sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan atau menyalahgunakan kemudahan pas.

"Pada masa yang sama, tindakan tegas turut akan diambil terhadap mana-mana majikan, pemilik premis atau individu yang menggaji, melindungi atau bersubahat dengan PATI," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!