Lelaki Bangladesh dakwa miliki dua pasport diberkas

KUANTAN – Tindakan individu warga Bangladesh yang mendakwa memiliki dua pasport dipercayai membabitkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dan pasport Bangladesh menerusi satu video tular mengundang padah apabila dia diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan di Jalan Kuantan Bandar Damansara, di sini pada Sabtu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai hantaran video tular itu yang memaparkan lelaki terbabit memegang dua pasport sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dan gesaan orang ramai supaya siasatan segera dijalankan.
Susulan itu, katanya, JIM Negeri Pahang bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Pahang menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi mengesan individu berkenaan serta mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut.
"Hasil risikan dan operasi yang dijalankan, sepasukan enam pegawai imigresen menyerbu sebuah kontena di sekitar Jalan Kuantan Bandar Damansara pada jam 6.30 petang, 4 Julai lalu.
"Pemeriksaan di lokasi menemukan seorang lelaki warga Bangladesh berada di dalam kontena berkenaan sebelum pemeriksaan lanjut menemui dua naskhah PMA yang telah tamat tempoh sah laku masing-masing pada 25 April 2017 dan 25 Oktober 2022 serta sebuah Buku Perkhidmatan Pelaut milik seorang warganegara tempatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, lelaki terbabit kemudiannya ditahan dan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuantan bagi membantu siasatan.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik sebenar kedua-dua naskhah PMA dan Buku Perkhidmatan Pelaut tersebut.
"JIM turut menyiasat sama ada wujud unsur pemilikan tanpa kebenaran, penyalahgunaan dokumen perjalanan atau apa-apa kesalahan lain di bawah undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Zakaria berkata, JIM memandang serius setiap dakwaan berkaitan penyalahgunaan atau pemilikan dokumen perjalanan Malaysia.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan.
"Sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

