Bahan kempen calon PH Bukit Batu disabotaj, laporan polis dibuat

Keadaan 'billboard' kempen calon Pakatan Harapan (PH) DUN Bukit Batu yang didakwa dirosakkan.
Keadaan 'billboard' kempen calon Pakatan Harapan (PH) DUN Bukit Batu yang didakwa dirosakkan.
A
A
A

KULAI – Bahan kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern didakwa dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab di beberapa lokasi sekitar kawasan itu.

Arthur berkata, kejadian disedari kira-kira jam 9 pagi semalam di Kampung Rahmat, Kampung Sri Paya dan Taman Putri Hartamas apabila bendera serta papan tanda kempen didapati dirosakkan.

Menurutnya, pihaknya kesal dengan tindakan berunsur sabotaj dan khianat itu yang disifatkan mencemarkan suasana kempen pilihan raya.

"Bendera PH dicampakkan ke dalam longkang, manakala beberapa papan tanda kempen dikoyakkan di Kampung Sri Paya. Di Taman Putri pula, 'billboard' dan bendera turut disabotaj.

"Setakat ini kami tidak mengetahui siapa pelakunya," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama N.51 Bukit Batu, Taman Impiana, di sini, pada Ahad.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Air Bemban bagi membolehkan siasatan dijalankan dan pihak yang bertanggungjawab dikenal pasti.

Arthur yang juga Ketua PKR Cabang Kulai berkata, insiden berkenaan tidak akan melemahkan semangat beliau dan pasukan untuk meneruskan kempen bagi mempertahankan kerusi DUN Bukit Batu.

Beliau turut menyeru semua pihak mengamalkan politik matang dengan berkempen secara sihat serta mengelakkan sebarang tindakan provokasi atau khianat yang boleh menjejaskan keharmonian sepanjang tempoh pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!