'Kalau dah lima kali kalah, berilah peluang parti komponen lain' - Tok Mat

SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) masih belum memuktamadkan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri(PRN) Negeri Sembilan, namun tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran kerusi antara parti komponen.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembahagian kerusi akan dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira perubahan komposisi pengundi serta keputusan pilihan raya lalu.
"Bagi pandangan saya, kalau dah lima kali bertanding kalah, kita berilah peluang kepada parti lain pula kerana mungkin pengundi di situ tidak suka parti komponen BN yang bertanding di situ.
"Boleh jadi kita buat pertukaran kerusi, tetapi kita bagi peluang sebaik mungkin kepada semua rakan-rakan dalam komponen BN," katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di sini pada Ahad.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, parti-parti yang dianggap sebagai Sahabat BN juga mungkin dipertimbangkan untuk meletakkan calon kerana sesetengahnya mungkin mempunyai pengaruh di kawasan tertentu.
Namun jelas beliau, kepimpinan tertinggi parti akan mempunyai kata putus mengenainya.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan semua anggota parti agar tidak melakukan sabotaj ke atas calon yang bakal dipilih nanti.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman beberapa pilihan raya sebelum ini, BN kalah di beberapa kerusi bukan kerana kekuatan pihak lawan, sebaliknya akibat tindakan segelintir ahli yang tidak berpuas hati dengan calon yang dipilih.
"Setiap Bahagian UMNO telah pun diarah menghantar sekurang-kurangnya tiga senarai nama untuk dibincangkan dan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.
"Apabila sudah diputuskan, masing-masing mestilah akur kepada keputusan tersebut, tidak boleh ada sebarang pertelingkahan semasa kita menghadapi pilihan gaya kerana banyak pilihan raya kerusi kita kalah kerana adanya sabotaj dalaman.
"Pihak lawan tak kuat, tapi kadang-kadang sendiri nak kasi parti sendiri kalah kerana tak suka calon atau calon sendiri tak dapat, tak boleh macam itu,"katanya.
Tambahnya, senarai calon dijangka akan diumumkan pada 15 Jun ini semasa pelancaran jentera Pilihan Raya BN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

