Tok Mat sedia pertahan kerusi DUN Rantau

SEREMBAN - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan bersedia mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Beliau yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan berkata, bagaimanapun ia tertakluk kepada persetujuan pucuk pimpinan parti.
"Kalau dipersetujui oleh pucuk pimpinan saya tiada masalah," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di sini pada Ahad.
Untuk rekod, pada PRN 2023, Ahli Parlimen Rembau itu berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau yang disandangnya sejak 2004 dengan majoriti 10,280 undi.
Beliau memperoleh 16,957 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Rembau, Rozmal Malakan yang mendapat 6,677 undi.
Mohamad juga pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2004 hingga 2018.
Dalam pada itu, ditanya sama ada nama Khairy Jamaluddin turut dicadangkan sebagai calon dalam pilihan raya di negeri itu kali ini, beliau memaklumkan tidak mengetahui mengenai perkara tersebut.
"Tak tahu pula saya, kita tiada perbincangan. Kalau ada itu kemudianlah. Tapi setakat ini tidak timbul perbincangan tentang perkara itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

