X

Kindly register in order to view this article
!

Psikologi pasca Covid-19

A
A

COVID-19 yang sedang melanda dunia pada hari ini pasti memahat sejarah hitam yang sukar dilupakan. Ia telahpun diisytiharkan sebagai pandemik global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Amukan Covid-19 telah menjangkiti lebih 1.7 juta orang di 185 buah negara dan meragut lebih 100,000 nyawa, menyebabkan setiap individu terutamanya warga organisasi bungkam dan sukar membayangkan apa yang akan berlaku selepas ini.

Suasana dan amalan di tempat kerja pasca-Covid-19 pasti berbeza daripada sebelumnya.

Justeru, persediaan psikologi setiap warga amat penting untuk mendepani cabaran hari mendatang. Covid-19 dijangka mencetuskan xenofobia yakni ketakutan atau kebencian terhadap orang asing.

Dengan status pandemik globalnya, Covid-19 menimbulkan xenofobia yang ketara.

Justeru, pada peringkat awal, organisasi perlu menambah baik prosedur keselamatan dan kesihatan pekerjaan agar keyakinan semua warganya mampu dikembalikan dek kegusaran berinteraksi dengan warga asing dan warga luar.

Matlamat

Produktiviti organisasi dijangka mungkin meningkat apabila aktiviti berkumpulan diminimumkan dan penjarakkan sosial dilaksanakan.

Perubahan ini menjadikan warga lebih fokus kepada tugas masing-masing tanpa mencuri masa bagi aktiviti sosial secara berkumpulan seperti membawang di bilik kopi.

Namun, masa produktif masih boleh hilang kerana ia lebih banyak dihabiskan melayani pelbagai aplikasi media sosial. Penulis berpendapat bahawa setiap warga perlu membuat lima persediaan psikologi bagi menghadapi pasca-Covid-19.

Pertama, warga perlu kepada menerima diri sendiri seadanya, mengakui kekuatan dan kelemahan kendiri serta akur bahawa perjalanan hidup ada pasang surutnya.

Kedua, warga perlu menyiapkan psikologi untuk perubahan terutamanya pertumbuhan dan perkembangan peribadi. Sifat dan sikap keterbukaan kepada ilmu pengetahuan dan pengalaman baharu, mudah menerima perubahan dan sedia untuk berubah.

Ketiga, warga organisasi perlu menyedari tentang hakikat dan makna kehidupan. Anjakan paradigma dan penambahbaikan minda tentang tujuan hidup di dunia akan mencetuskan perasaan kehidupan yang sangat bermakna, mensyukuri nikmat yang diterima, menetapkan matlamat hidup serta berusaha untuk mencapainya.

Keempat, peka secara psikologi akan persekitaran dan kelebihan menguasainya. Jika dahulu, persekitaran dikatakan mempengaruhi kehidupan manusia, namun minda warga perlu diubah supaya percaya bahawa mereka mampu mempengaruhi persekitaran.

Kesemua ini boleh diperkasakan melalui pengetahuan, kemahiran dan keupayaan mengawal persekitaran hidup, menyelesaikan masalah dan melakukan aktiviti bermakna.

Kelima, kepentingan aspek psikologi sosial. Bagi mendapatkan psikologi sosial yang ampuh, ia harus dimulai dengan perhubungan antara perorangan yang positif yang nantinya mewujudkan suasana sosial harmoni.

Keupayaan untuk mempercayai, menyayangi dan menyokong orang lain adalah input penting pengukuhan psikologi sosial individu.

Covid-19 mencetuskan pelbagai bentuk emosi dalam kalangan warga organisasi seperti keperluan khidmat mereka, keperluan kemahiran masa hadapan dan cabaran persekitaran organisasi.

Kesemua itu menyebabkan individu mengalami konflik, stres dan akhirnya menjejaskan tahap kesihatan. Oleh itu, kesejahteraan emosi perlu diberi penekanan melalui strategi latihan dan pembangunan sumber manusia. Ia mampu menyediakan dan memperkasa mental warga bagi menghadapi sebarang andaian psikologi pasca-Covid-19.

Kata orang, alah bisa tegal biasa, sesuatu perasaan yang kurang menyenangkan itu akan hilang apabila ia telah menjadi kebiasaan.

* Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!