Tular pelajar dibelasah beramai-ramai di kebun sawit 

Tular video memaparkan seorang remaja lelaki dipercayai pelajar dibelasah beramai-ramai dalam satu kejadian di kawasan kebun kelapa sawit.
Tular video memaparkan seorang remaja lelaki dipercayai pelajar dibelasah beramai-ramai dalam satu kejadian di kawasan kebun kelapa sawit.
A
A
A

TAWAU - Seorang remaja lelaki dipercayai pelajar dibelasah beramai-ramai dalam satu kejadian di kawasan kebun kelapa sawit dan videonya tular di media sosial sejak Sabtu. 

Kejadian dipercayai berlaku di Tawau dan video berdurasi satu minit 58 saat itu memaparkan pergaduhan melibatkan remaja termasuk pelajar di kawasan tersebut. 

Video tersebut dimuat naik dari sebuah akaun Facebook dipercayai ahli keluarga remaja lelaki tersebut dengan hantaran yang menegaskan mereka tidak meminta belas kasihan daripada sesiapa, sebaliknya hanya mahukan keadilan ditegakkan.

"Doakan agar adik saya segera sembuh dan diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan ini.

"Hari ini mangsanya orang lain, esok lusa kita tidak tahu siapa pula. Hentikan budaya pukul beramai-ramai. Tiada siapa yang berhak menjadi mangsa keganasan," katanya.

Menurutnya, keluarga mangsa berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus, adil dan menyeluruh supaya mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang.

Dalam hantaran sama, individu itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi sokongan kepada keluarganya selain berharap tiada lagi insan menjadi mangsa kejadian seumpama itu.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mengesahkan telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian tersebut yang berlaku di kawasan Jalan Sri Delima, Merotai Besar pada Jumaat. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Tawau telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 8.09 malam sebelum siasatan segera dijalankan. 

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa bersama tiga rakannya sedang berjalan melalui jalan pintas menuju ke Masjid Merotai Besar bagi menunaikan solat Jumaat. 

"Semasa dalam perjalanan, mangsa telah didatangi oleh sekumpulan pelajar sekolah yang dikenali olehnya," katanya dalam kenyataan. 

Katanya lagi, kumpulan tersebut dikatakan telah bertanyakan mengenai keberadaan dua individu sebelum salah seorang daripada mereka bertindak memukul mangsa. 

"Tindakan itu kemudiannya diikuti oleh beberapa pelajar lain yang turut menyerang mangsa secara beramai-ramai. Dalam kejadian yang sama, tiga orang rakan mangsa turut dipukul oleh kumpulan berkenaan.. 

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan pada bahagian muka, kepala, dada dan rusuk sebelum tampil membuat laporan polis. Mangsa telah dirujuk ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya. 

Wilynton berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana perbuatan merusuh. 

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta tindakan yang sewajarnya terhadap semua individu yang terlibat.

"Pihak polis memandang serius sebarang bentuk keganasan atau perbuatan samseng, khususnya yang melibatkan pelajar sekolah.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis," katanya. 

Katanya lagi, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Chong Fung Mee di talian 013-8840113 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

"Kerjasama daripada orang ramai amatlah dihargai bagi membantu melengkapkan siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!